Kebelakangan ini, saya didatangi beberapa kes rogol yang melibatkan gadis bawah umur yang dirujuk pihak polis untuk pemeriksaan fizikal. Rata-rata kes tersebut melibatkan suspek yang dikenali oleh mangsa, dan mangsa-mangsa rogol tersebut dengan rela hati menerima ajakan atau pujukan suspek untuk ke tempat-tempat sunyi di mana akhirnya mereka diajak melakukan hubungan seks secara paksa. Sebelum ini juga, saya pernah menerima kes mangsa yang melakukan seks secara sukarela dengan teman lelaki tetapi diklasifikasikan sebagai rogol kerana mangsa masih di bawah umur.
Perasaan saya bercampur baur. Pertama, saya jijik dan marah pada lelaki yang menuruti kejahatan hawa nafsu mereka dan mengambil kesempatan terhadap gadis-gadis tersebut. Saya jadi seram dan takut memikirkan bahawa betapa banyak bahaya menanti wanita akibat kerakusan lelaki.
Kedua, saya sangat kasihan dengan nasib yang menimpa gadis-gadis tersebut, dalam usia yang sangat muda sudah dilanda trauma akibat dirogol. Lebih malang lagi, ada yang mengandung anak luar nikah akibat jenayah tersebut. Dan lebih menakutkan saya, ia menyebabkan pelbagai masalah sosial lain seperti pengguguran dan pembuangan anak.
Ketiga, lebih daripada rasa kasihan saya, dalam masa yang sama merasa sangat-sangat marah dengan ‘kenaifan’ gadis-gadis tersebut. Haruskah saya salahkan suspek semata-mata jika pada awalnya gadis-gadis tersebut telah ‘merelakan’ diri mereka terjebak dalam jenayah itu dengan merelakan diri mengikut lelaki tersebut.
Wahai gadis, janganlah terlalu naif. Tidakkah kalian tahu bahawa Allah melarang mendekati zina melalui pergaulan bebas dengan bersebab? Allah Maha Tahu bahawa hubungan terlarang antara lelaki dan perempuan akhirnya akan melorongkan mereka ke lembah penzinaan sama ada secara rela atau paksa. Maka, janganlah kerana ‘cinta’, kau biarkan maruahmu tergadai. Janganlah kerana ‘sayang’, kau biarkan masa depan mu terbengkalai.
Wahai gadis, Allah telah mensyariatkan kaum wanita untuk menutup aurat dengan sempurna serta menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Allah Maha Tahu yang terbaik untuk hamba-Nya, iaitu melalui syariat-Nya sahaja manusia akan selamat dari terjebak ke lembah kehinaan. Maka, janganlah kau melanggar syariat penutupan aurat yang telah diperintahkan-Nya. Jika kau masih sombong melanggar syariat-Nya, janganlah kau melenting jika disalahkan dirimu punca kepada kebinasaanmu sendiri.
Wahai gadis, hijablah pakaianmu dengan menutup aurat sepertimana yang diperintahkan-Nya, dan hijablah hatimu dengan mengerjakan solat serta memperbanyakkan mengingati-Nya. Selamatkan dirimu dari diperdaya manusia durjana dengan mentati perintah-Nya nescaya kau akan selamat jua di akhirat sana.
Wahai ibu bapa, didiklah anak-anak kalian. Ajarkan padanya akan bahayanya biusan hawa nafsu. Nasihatlah mereka supaya menjaga aurat dan pergaulan. Peringatilah mereka akan akibat daripada melanggar syariat. Laranglah mereka menuruti kebebasan. Marahlah mereka jika syariat dibelakangkan. Apakah sayang kalian hanya pada menuruti kehendak mereka, tanpa gusar memikirkan keselamatan jua nasibnya di ‘sana’? Apakah kalian rela menyaksikan mereka hancur di dunia yang fana ini dan tersiksa di neraka akhirat?
Wahai gadis, selamatkanlah dirimu!
No comments:
Post a Comment