Saturday, April 11, 2009

Senyumlah Dalam Keletihanmu...

Dedikasi buat adikku yang letih...


"Kak, saya rasa letih sangat," adu seorang adik yang keletihan selepas berprogram, ditambah pula tugasan kuliah yang membebankan. Seluruh tubuhnya keletihan dan mula mengalami gejala seperti sakit dada dan rasa lemah hingga hampir-hampir tidak mampu meneruskan tugasannya pada hari tersebut.

"Akak rasa awak stress lah," kata saya membuat 'diagnosis' selepas mendengar simptom-simptom yang diceritakannya.

"Give your body a break. All work and no play makes Jack a dull boy," saya memetik kata pepatah Inggeris.

“Rehatlah, bercuti untuk dirimu sendiri. Antara sebab-sebab futur ialah keletihan yang melampau,” saya menyambung lagi.

“Ya lah, saya rasa hidup saya ni untuk program, kerja dan thesis saja kak…” luahnya lagi, mungkin baru menyedari betapa letihnya hidupnya.

“Selain rehat, cuba ambil supplement kesihatan untuk menambahkan tenaga,” sambung saya lagi. Teringat pengalaman saya yang selalu letih di zaman belajar, dapat saya atasi dengan pengambilan supplement.





“Dan janganlah lupa berdoa. Pagi tadi akak dengar ceramah ustaz kat dalam TV, katanya Rasulullah pernah mengajarkan satu ayat kepada Muadz Bin Jabal bagaimana untuk mengatasi masalah lemah dan berhutang. Ayat ini dengan izin Allah, jika diamalkan, sekiranya kita berhutang sebanyak manapun nescaya Allah mudahkan bagi kita untuk menyelesaikannya,” kata saya.

Ayat tersebut ialah ayat ke 26 Surah Ali Imran yang bermaksud: “Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”




Kepada temanku yang sedih, kecewa, tertekan, ketahuilah jalan perjuangan pastinya penuh kepenatan, kesusahan dan tekanan yang tak terjangkakan. Aku juga tak terkecuali melalui saat keletihan itu hingga kini. Namun, yakinlah kasih-Nya tetap menemani dalam keletihanmu, bantuan-Nya tetap menyusuli selepas kesusahanmu, dan kemanisan pasti akan dirasai selepas rasa tertekanmu. Bukankah Allah telah berjanji bahawa selepas kesusahan akan ada kesenangan.

“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Al-Insyirah: Ayat 5-6)

“Ya Allah, aku bermohon perlindungan-Mu dari rasa sedih dan dukacita, aku bermohon perlindungan-Mu dari sifat lemah dan malas, aku bermohon perlindungan-Mu dari sifat pengecut dan bakhil, dan aku bermohon perlindungan-Mu dari beban hutang dan penindasan manusia. Amin..”

Senyumlah dalam keletihanmu. Semoga langkah kita sentiasa kuat menyusuri jalan yang meletihkan ini. Untuk motivasi, renungilah kata-kata hikmah dari Saidina Umar Al-Khattab:

“Jika kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan, ketahuilah bahawa keletihan itu akan hilang sedang kebaikan itu akan berkekalan.”