Tuesday, January 26, 2010
Top Up Your Iman with Jana Taqwa 1
Alhamdulillah syukur kepada Allah swt kerana masih lagi saya bernafas dan mampu untuk mengetuk papan kekunci ini. Kali ini saya nak cerita tentang program JANA TAQWA anjuran HEWI PERKEPIS. Menarikkan bunyinya? Selalunya kita dengar jana pendapatan, jana kuasa dan lain-lain.
Program ini ialah program mingguan/bulanan HEWI PERKEPIS yang dibuat khas untuk kaum Hawa sahaja dan diadakan satu hari satu malam di mana-mana sahaja tempat yang sesuai. Pengisian program ini antaranya ialah qiamullail dan beberapa pengisian yang berkenaan dengan hal ehwal siswi. Seperti mana yang kita tahu, wanita lebih menitikberatkan aspek perhubungan ataupun relationship oriented berbanding dengan lelaki yang bersifat goal oriented. Jadi matlamat program ini selain untuk mengeratkan ukhuwah antara muslimat ianya juga bertujuan untuk menjadi medium di mana muslimat berkumpul meluahkan isi hati dan berkongsi masalah. Kalau dalam bahasa Inggerisnya program ini boleh dikenali sebagai Girls' Night ataupun Pillow Talk. Hoho.
Alhamdulilah pada 16 hingga 17 Januari yang lalu, program JANA TAQWA yang pertama untuk tahun ini telah diadakan di HOMESTAY ABAS di Kpg Panglima Seman, Kuching, Sarawak. Seramai 10 orang muslimat dari pelbagai lapisan umur telah ditakdirkan oleh Allah untuk mengikat tali ukhuwah. Saya salah seorang daripada mereka! *gembira* Terima kasih kepada Kak Siti Nurbaya dan Kak Nazirah yang bersusah payah menjadi tenaga penggerak.
Pada malam Sabtu, usai kami mengisi perut dengan daging black pepper dan sayur kobis hasil air tangan Kak Nazirah (dan sedikit sentuhan dari saya) Kak Nazirah terpaksa pulang kerana ada hal keluarga. Saya pun rasa tidak sedap hati kerana kalau Kak Nazirah mahu pulang mestilah Kak Siti yang akan menghantar. Yaa, tekaan saya benar. Huhu. Tidak lama selepas itu, Kak Siti menghampiri saya dan dia mengharapkan saya untuk menggantikannya seketika. Masya Allah, takutnya saya sebab tidak ada persiapan langsung.
Tibalah masa pengisian. Halaqah telah dibuat. Masya Allah saya berdepan dengan sahabat yang lebih muda, sebaya dan ada juga yang lebih tua dari diri saya. Rasa gementarlah sedikit. Tetapi alhamdulillah Allah beri saya kekuatan untuk meneruskan sesi taaruf kami. Usai sesi taaruf yang menghiburkan kami lebih mengenali antara satu sama lain.
*tick tock tick tock*
Jam sudah pukul 9 malam. Tapi bayangan Kak Siti belum juga nampak. Tiba-tiba datang satu pesanan ringkas dari Kak Siti
"Tini, akak perlu ambik mak akak di hospital. Lepas ya akak pergi sia gik"
Selepas itu, saya pun meneruskan jua ke aktiviti yang seterusnya iaitu KULDUM ataupun kuliah 2 minit. Masa ini giliran sahabat yang lain lagi bercakap, saya mendengar. Adil kan? Hoho. Saya beri satu tajuk yang ringkas dan mereka memberi pendapat masing-masing ataupun pengisian berdasarkan tajuk iaitu CINTA. Amat mengujakan mendengar pendapat mereka.
*tick tock tick tock*
Sedar tak sedar jarum jam menunjukkan pukul 10 tepat. Tinggal 30 minit lagi. Otak saya ligat berputar memikirkan aktiviti seterusnya. POP! Allah beri ilham. Alhamdulillah! Saya kemukakan satu permintaan yang aneh pada fikiran mereka atau sesiapapun yang mendengar pada masa itu. Sila kemukakan saiz kaki anda dan bercerita tentangnya. Ada yang mengulas panjang lebar dan ada yang menceritakan betapa susahnya mencari kasut untuk dirinya dan macam-macam kisah yang lucu berkenaan dengan kaki.
Insya Allah, kisah kaki akan saya sambung pada entri yang seterusnya. Rasa bersalah sebab terlalu lama dating dengan laptop ni. Hoho.
Catatan Jurnal: Hartini Mardan
Si Tanggang moden dari Sarawak?
Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
Tumi Wongsoruju ketika berada di Balai Polis Seri Kembangan, Serdang, Selangor, semalam.
SUBANG JAYA 21 Jan. - Sudah tiga tahun, Tumi Wongsoruju tidak bertemu anak perempuan tunggalnya yang membawa diri tanpa sebarang berita ke Semenanjung.
Jarak yang jauh ditambah pula dengan kesempitan hidup, membuatkan wanita berusia 52 tahun yang tinggal di Kuching, Sarawak itu tidak berupaya mencari anak kesayangannya.
Namun kerinduan yang tidak tertanggung lagi, akhirnya mendorong Tumi berhutang dengan saudara-mara bagi membeli tiket penerbangan ke Kuala Lumpur untuk menjejaki anaknya.
Berbekalkan duit poket RM150 dan alamat sebuah kawasan perumahan di Serdang dekat sini, dia menyusuli anak perempuannya itu.
Membuang rasa malu dan takut, Tumi yang berasal dari Taman Duranda Emas di Jalan Kuching-Serian memberanikan diri menagih simpati orang ramai untuk membantu mencari rumah anaknya yang berusia 33 tahun.
Setelah puas bertanya, dia yang tiba di Semenanjung kelmarin berjaya menemui anak kesayangannya itu hasil bantuan orang ramai dan anggota dari Balai Polis Seri Kembangan, malam tadi.
Namun, perasaan teruja dan gembira bertemu anak yang cukup dirindui bertukar menjadi kenangan pahit yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayatnya.
Tumi bukan sahaja dihalau bahkan tidak diakui sebagai ibu oleh anak perempuan dan menantunya.
Biarpun bersungguh-sungguh meyakinkan mereka dengan menunjukkan sijil kelahiran anaknya, wanita itu dan suaminya tetap berkeras enggan mengaku Tumi sebagai ibu.
Terkilan dengan sikap anaknya itu, Tumi yang tidak mempunyai saudara-mara di sini akhirnya berputus asa dan bersetuju mengikut anggota polis ke Balai Polis Seri Kembangan.
Simpati dengan nasib Tumi, wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo! bersama jurugambar sepakat berkongsi mengeluarkan wang untuk membeli tiket penerbangan dan duit belanja bagi membolehkan dia pulang ke kampung halamannya hari ini.
Dengan kerjasama anggota dari Balai Polis Seri Kembangan, Tumi berjaya mendapat tiket penerbangan pulang ke Kuching menaiki pesawat AirAsia pukul 7.40 malam ini.
Sementara itu, Tumi ketika ditemui dengan berlinangan air mata memberitahu, selain mengubati kerinduan, tujuan dia datang ke Semenanjung adalah untuk memujuk anaknya itu supaya pulang bersamanya ke Kuching.
Katanya, ini bagi menyelesaikan urusan tuntutan hak penjagaan cucu lelakinya hasil perkahwinan anak perempuannya itu dengan suami pertama.
"Sebelum berkahwin dengan suami sekarang, anak saya pernah mendirikan rumahtangga dengan seorang lelaki berketurunan Bidayuh.
"Mereka mempunyai seorang anak yang kini berusia 13 tahun. Kanak-kanak itu dijaga oleh saya selama 11 tahun sebelum diambil oleh bekas menantu yang mendakwa sudah memeluk Islam selepas mereka bercerai," katanya.
Tumi berkata, dia nekad menuntut hak penjagaan cucu kesayangannya itu kerana bimbang akidah kanak-kanak itu terpesong memandangkan cucunya kini tinggal bersama keluarga bekas menantunya yang beragama Kristian di Kampung Tijirak, Kuching.
Katanya, anak perempuannya itu merupakan anak tunggalnya hasil perkahwinan dengan suami pertama. Perkahwinannya dengan arwah suami kedua yang merupakan bekas tentera berasal dari Lenggong, Perak, tidak dikurniakan cahaya mata.
Tumi yang tinggal seorang diri dan menghidap sakit buah pinggang memberitahu, mereka tidak pernah berselisih faham namun dia terkejut apabila anaknya menghilangkan diri bersama suami barunya ke Semenanjung tiga tahun lalu dan langsung tidak menghubunginya sehingga kini.
"Biarpun sedih mengenangkan anak kesayangan yang dikandung selama sembilan bulan enggan mengaku saya sebagai ibu tetapi saya tetap memaafkannya dan berharap dia kembali ke pangkuan saya satu hari nanti.
"Malah, saya ada membawa sepasang baju kurung baru dan sehelai selendang untuk dihadiahkan kepadanya," katanya yang tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan dengan kejadian itu.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm
Petikan : Amirah Al-Bayan
Thursday, January 14, 2010
RaHeeM 2010: “Aduhai Puteriku Sayang...”
RaHeeM 2010 adalah singkatan bagi “Rawon HEWI ke Melaka 2010” telah diadakan di Melaka Bandaraya Bersejarah pada 1 hingga 3 Januari 2010. Program 3 hari 2 malam ini dianjurkan oleh HEWI (Hal Ehwal Siswi) Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) dengan kerjasama HEWI Persatuan Pelajar Islam Melaka (PEPIM). Kumpulan sasaran ialah pelajar2 muslimah Sarawak yang menuntut di Semenanjung Malaysia. Program ini ialah program lanjutan bagi Kembara Kuantan HEWI 2009 ataupun KKH09 yang pernah diadakan di Kuantan, Pahang suatu ketika dahulu.
Setinggi2 syukur, puja dan puji dipanjatkan pada ALLAH S.W.T. Walaupun jumlah penyertaan kurang daripada penyertaan di Kuantan dahulu iaitu seramai 11 orang (UIAM Gombak, UIAM Kuantan, IIC, KUIS, KUIM, PEPIM), namun pengisian2 dan penerimaan para peserta adalah sangat baik. Jumlah yang sedikit ini memudahkan penyampaian dan perkongsian dari hati ke hati. Bertepatan dengan temanya, “Aduhai Puteriku Sayang...”, para peserta didedahkan dengan aktiviti2 dan pengisian2 yang mendidik mereka sebagai seorang insan yang bergelar muslimah.
Lanjutan: RINDOK ATI
Pautan Lain: MOMENTO SUTERA
Sunday, January 10, 2010
Wahai Gadis, Selamatkan Dirimu!
Perasaan saya bercampur baur. Pertama, saya jijik dan marah pada lelaki yang menuruti kejahatan hawa nafsu mereka dan mengambil kesempatan terhadap gadis-gadis tersebut. Saya jadi seram dan takut memikirkan bahawa betapa banyak bahaya menanti wanita akibat kerakusan lelaki.
Kedua, saya sangat kasihan dengan nasib yang menimpa gadis-gadis tersebut, dalam usia yang sangat muda sudah dilanda trauma akibat dirogol. Lebih malang lagi, ada yang mengandung anak luar nikah akibat jenayah tersebut. Dan lebih menakutkan saya, ia menyebabkan pelbagai masalah sosial lain seperti pengguguran dan pembuangan anak.
Ketiga, lebih daripada rasa kasihan saya, dalam masa yang sama merasa sangat-sangat marah dengan ‘kenaifan’ gadis-gadis tersebut. Haruskah saya salahkan suspek semata-mata jika pada awalnya gadis-gadis tersebut telah ‘merelakan’ diri mereka terjebak dalam jenayah itu dengan merelakan diri mengikut lelaki tersebut.
Wahai gadis, janganlah terlalu naif. Tidakkah kalian tahu bahawa Allah melarang mendekati zina melalui pergaulan bebas dengan bersebab? Allah Maha Tahu bahawa hubungan terlarang antara lelaki dan perempuan akhirnya akan melorongkan mereka ke lembah penzinaan sama ada secara rela atau paksa. Maka, janganlah kerana ‘cinta’, kau biarkan maruahmu tergadai. Janganlah kerana ‘sayang’, kau biarkan masa depan mu terbengkalai.
Wahai gadis, Allah telah mensyariatkan kaum wanita untuk menutup aurat dengan sempurna serta menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Allah Maha Tahu yang terbaik untuk hamba-Nya, iaitu melalui syariat-Nya sahaja manusia akan selamat dari terjebak ke lembah kehinaan. Maka, janganlah kau melanggar syariat penutupan aurat yang telah diperintahkan-Nya. Jika kau masih sombong melanggar syariat-Nya, janganlah kau melenting jika disalahkan dirimu punca kepada kebinasaanmu sendiri.
Wahai gadis, hijablah pakaianmu dengan menutup aurat sepertimana yang diperintahkan-Nya, dan hijablah hatimu dengan mengerjakan solat serta memperbanyakkan mengingati-Nya. Selamatkan dirimu dari diperdaya manusia durjana dengan mentati perintah-Nya nescaya kau akan selamat jua di akhirat sana.
Wahai ibu bapa, didiklah anak-anak kalian. Ajarkan padanya akan bahayanya biusan hawa nafsu. Nasihatlah mereka supaya menjaga aurat dan pergaulan. Peringatilah mereka akan akibat daripada melanggar syariat. Laranglah mereka menuruti kebebasan. Marahlah mereka jika syariat dibelakangkan. Apakah sayang kalian hanya pada menuruti kehendak mereka, tanpa gusar memikirkan keselamatan jua nasibnya di ‘sana’? Apakah kalian rela menyaksikan mereka hancur di dunia yang fana ini dan tersiksa di neraka akhirat?
Wahai gadis, selamatkanlah dirimu!
Tuesday, January 5, 2010
KENAPA ISU KALIMAH "ALLAH" BUKAN ISU KECIL?
Syukur ke hadrat ILAHI, malam tadi (5 Januari 2010, 8.30malam), saya diberi izin hadir ke Forum “KALIMAH ALLAH: HAK MUSLIM @ HAK SEMUA?” yang berlangsung di ADM LT 4, UIAM Gombak. Sudah lama rasanya saya tidak diperdengarkan dengan majlis ilmu yang isi dan intipatinya agak tidak mengecewakan. Hadir kerana saya sedar agama saya diancam bahaya. Seandainya saya BUKAN JURUDAKWAH sekalipun, saya tetap ingin hadir. Mungkin pada yang masih kurang jelas, tanggal 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan penggunaan kalimah “ALLAH” dalam majalah Herald.
Malam itu ada 2 panelis yang tampil mengupas sedalam2nya mengenai isu ini. Yang pertama ialah Timbalan Dekan Kulliyyah Ilmu Wahyu UIAM dan juga Mantan Timbalan Presiden ABIM, Dr. Mohd Farid Mohd Shahran dan yang kedua Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan juga graduan Undang-undang UIAM, saudara Mohd Faisal Abdul Aziz.
Pusingan pertama forum telah dimulakan oleh Dr. Farid yang dilontarkan dengan persoalan isu ini dari sudut pandangan Islam dan perbandingan agama. Dr. Farid membuka bicara beliau dengan kesyukuran ke hadrat ALLAH Ta’ala. “Bukan ALLAH dalam majalah Herald tu.” Tergelak audien mendengar sindiran itu. Dr. Farid menegaskan bahawa, isu ini bukanlah isu mudah, bukan sekadar ‘simple word’, sebaliknya ia harus dilihat dari pelbagai sudut. Isu ini juga bukan isu yang kita boleh berikan hitam dan putih secara terus. Beliau melihat di peringkat Mahkamah Tinggi itu sendiri, kedua2 pihak mempunyai hujah tersendiri, namun kita perlu kepada hujah yang lebih tegar dalam memelihara pendirian masing2.
Dr. Farid menasihatkan agar isu kalimah “ALLAH” ini janganlah dilihat dalam konteks aqidah yang mudah, tetapi harus dibuka dan dilihat lebih luas lagi. Isu ini timbul apabila pihak majalah Herald itu ingin menterjemahkan perkataan “LORD” atau “GOD” ke dalam Bahasa Melayu dan mereka telah memilih “ALLAH” sebagai ganti “LORD” atau “GOD”. Persoalannya, kenapa perkataan “ALLAH” yang dipilih sedangkan ada lagi perkataan2 lain yang boleh digunakan seperti Tuhan, Ruh Qudus dan lain-lain. Kenapa mesti “ALLAH”?
Dr. Farid membawa kami menilai melalui 2 keadaan. Keadaan yang pertama kesalahan menterjemah. “LORD” ialah Kata Nama Am dalam Bahasa Inggeris. Maka, jika diterjemah ke Bahasa Melayu harus juga daripada Kata Nama Am iaitu “TUHAN”. Tetapi, dalam kes ini, mereka terus menggantikan “LORD” itu kepada Kata Nama Khas iaitu “ALLAH” yang mana merupakan satu kesalahan dalam sistem penterjemahan.
Keadaan yang kedua ialah dari sudut semantik. Semantik ini bermakna setiap istilah, lafaz dan perkataan mesti mempunyai ‘correspond meaning’ atau makna yang tersendiri. Al-Quran paling banyak mentakrifkan maksud “ALLAH”. Contohnya dalam Surah Al-Ikhlas. Ayat pertama memberi makna ALLAH itu Esa. Ayat kedua memberi makna ALLAH itu tempat bergantung. Ayat yang ketiga memberi makna ALLAH itu tidak beranak dan diperanakkan. Apa yang jelas, makna “ALLAH” tiada satu persamaan pun (mithal). Dr. Farid menambah lagi, sungguh jelas maknanya dalam Al-Quran dan ayat2nya juga ada yang “muhkamad” iaitu tidak boleh dipertikaikan lagi. Jadi, seandainya kita menggunakan hakikat lain pada istilah “ALLAH” maka kita telah biadab pada ALLAH. Dengan bahasa pun kita kena beradab.
Dr. Farid menegaskan bahawa beliau tidak begitu bersetuju dengan bunyi tajuk forum pada malam itu kerana bunyinya seolah2 kita hendak merebut dan memonopoli istilah. Padahal, kita berbahas kerana kita memahami isu ini dalam sudut pandangan alam Islam.
Beliau menjelaskan dalam Bahasa Melayu banyak dipengaruhi dengan pandangan alam Islam (Bahasa Arab) kerana kita tahu makna perkataan2 ini lebih tepat. Dr. Farid melahirkan rasa bimbang dengan situasi dalam masyarakat sekarang ini kerana ramai yang terkeliru. Bukan sahaja di kalangan umat Islam, yang bukan Islam pun turut terkeliru juga. Beliau sebenarnya tidak kisah apa yang bakal diputuskan mahkamah, tetapi yang beliau bimbangkan pemikiran di kalangan orang2 Islam terhadap isu ini tanpa melihat isu ini dalam konteks yang lebih mendalam.
Sesetengah pihak mengatakan, kita menang kes ini sebenarnya. Berdiri atas hujah istilah itu datang sebelum ISLAM lagi. Ini memang betul, tetapi apabila Islam tersebar serata alam, maka Islam telah mengubah (mengislamisasikan) istilah2 ini kepada makna yang lebih dekat dengan tauhid termasuklah istilah ALLAH.
Contoh yang beliau berikan ialah perkataan "KAREEM" yang bermaksud mulia. "KAREEM" sebelum kedatangan Islam diberikan kepada seseorang yang mempunyai ramai anak lelaki. Namun, setelah kedatangan Islam, nilai makna itu disandarkan pada ALLAH YANG MAHA MULIA. Dan, kita haruslah mengikut makna2 istilah itu selepas kedatangan Islam kerana ada ulama' bahasa yang telah mengkaji dan menghasilkan buku yang tebal2 yang mengandungi huraian istilah2 itu. Maka ia bukanlah perkara yang harus kita pandang ringan.
Inilah agenda sesetengah pihak yang berpegang pada konsep kesatuan agama. Bak kata ahli agam Rom: "ALL ROADS LEADS TO ROME" yang jelas menpromosikan konsep persamaa agama. Menyentuh soal TOLERANSI pula, beliau merasakan orang2 MELAYU ISLAM sudah cukup tolerant dengan orang2 bukan ISLAM. Sesungguhnya memang benar Nabi Muhammad S.A.W pun menyuruh kita untuk tolerant, TETAPI pendirian dalam agama TIDAK BOLEH ditoleransikan sewenang2nya. Bahkan, dalam Surah Al-Kafirun, kita telah mengisbatkan hak masing2 dan bukannya 'INTOLERANT'. Adakah salah untuk kita kata: "WE ARE DIFFERENT, BUT WE RESPECT EACH OTHER". Dan tidak perlulah asyik2 ingin bercakap soal persamaan.
Dr. Farid menegaskan kita perlu teliti dalam memberi pandangan dan meletakkan posisi kita dalam isu ini. Jangan sesekali memudahkan agama. Adalah berbeza antara AGAMA ITU MUDAH dengan MEMUDAH2KAN agama. Dari segi mengikut mazhab pula, beliau mengatakan kita mengikut mazhab bukanlah kita taklid buta, tetapi kita letakkan kepercayaan kepada kewibawaan ilmu ulama'2 Islam yang muktabar.
Pusingan kedua forum diserahkan kepada saudara Faisal dan beliau banyak menyentuh isu ini dari kaca mata undang2 walaupun tidak secara keseluruhannya. Saudara Faisal menjelaskan bahawa salah satu cara gerakan Kristianisasi menyebarkan dakyah mereka ialah dengan memperibumikan Kristian dalam masyarakat setempat. Perkembangan Kristianisasi di Eropah membuktikan bagaimana fahaman Kristianisasi telah disalahertikan iaitu berasal daripada tamadun Yunani, Rom dan lain2. Begitu juga di Alam Melayu, mereka menggunakan kalimah "ALLAH" untuk menserasikan Kristianisasi dalam masyarakat kita. Tujuannya mudah iaitu untuk mengelirukan orang Melayu.
Tegas saudara Faisal lagi, ini bukan isu majalah semata2, tetapi isu sistem sosial yang akan berlaku dalam jangka panjang. Ramai orang2 muda tidak melihat implikasi besar isu ini dalam jangka panjang. Ramai yang memandang ringan kerana ia hanya satu kalimah. Beliau melontarkan persoalan:" MENGAPA KITA BERSYAHADAH 'TIADA TUHAN SELAIN ALLAH'? KENAPA TIDAK 'TIADA ALLAH SELAIN ALLAH'?". Ancaman yang bakal diterima juga dilontarkan oleh saudara Faisal. Beliau berkata, andai kalimah ini diizinkan untuk digunapakai oleh semua pihak sekarang, kita tidak akan mampu mempersoalkan penggunaannya dalam agama lain untuk masa akan datang.
"BAITULLAH" mungkin digunakan untuk gereja. Begitu juga dengan "RUMAH ALLAH". Bible pula mungkin mereka sebut "KITAB ALLAH". Inilah kesan jangka panjang yang lebih memudaratkan masyarakat Islam kita. Kita akan marah jika perkataan "ALLAH "itu diletakkan di bahagian pusat patung besar di Kuil Batu Caves itu. Namun ketika itu kita tidak akan mampu untuk berbuat apa2 kerana kita sudah benarkan pengunaab kalimah "ALLAH" ini untuk agama lain juga.Inilah sebabnya kenapa isu kalimah "ALLAH" ini bukan isu yang kecil, isu majalah semata2, TETAPI ADA AGENDA YANG CUKUP BESAR. Beliau menjelaskan lagi, pada tahun 1986, kabinet Malaysia telah memutuskan ada 4 perkataan yang tidak boleh digunakan oleh agama lain iaitu ALLAH, SOLAT, KAABAH dan BAITULLAH.
Kesimpulan dari forum di atas, saya merasakan sedikit terisi dengan fakta2 dan penjelasan2 kedua-dua panel. Sesungguhnya kita harus memahami isu ini bukan setakat untuk jangka pendek, tetapi kesannya untuk jangka panjang kelak.
**Kesalahan fakta mohon diperbetulkan**
Dipetik dari: -RiNdOk AtI-
Sunday, January 3, 2010
Allah (Lagi)
1. Saya pernah menulis mengenai kalimah Allah di blog ini (lihat sini). Intinya saya tidak bersetuju kalimah tersebut dibenarkan untuk kegunaan penganut agama selain Islam.
2. Kalimah Allah bukan sahaja bererti Tuhan. Ia membawa sama 'nilai kesucian' yang tersendiri buat penganut agama Islam. Kerana itulah seseorang muslim dalam keadaan janabah misalnya tidak akan memegang (ayat-ayat suci) al-Quran. Kerana itulah jika kita terserempak keratan kertas bertulis 'Allah, Nabi Muhammad' di atas jalan, kita akan mengutipnya, dan cara untuk melupuskan keratan itu selalunya kita membakar ia sehingga musnah. Pendek kata Allah bukanlah semata-mata 'Tuhan'. Ia membawa 'keberatan' atau weight yang lebih mendalam.
3. Kebenaran penggunaan kalimah Allah buat penganut agama lain akan memberi kesan dalam bahasa Melayu juga. Bayangkan Allah dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud 'Tuhan Yang Esa' terpaksa dirombak, tunduk menurut ajaran Kristian dengan sisipan ayat contoh kedua: (Astaghfirullah) Jesus adalah anak Allah. Kita juga mungkin (terpaksa) merujuk gereja sebagai 'sebuah lagi rumah Allah'. Ini kerana bukan sahaja masjid lagi dapat dirujuk sebagai 'rumah Allah'.
4. Jika Allah hanyalah satu kalimat bermaksud Tuhan, maka orang Islam (Muslim India dan Melayu) Singapura tidak akan turun ke jalanraya satu masa dahulu untuk mempertahankan akidah Natrah. Kita juga tidak perlu berheboh-heboh mengenai Nur Aishah Bukhari, tidak berheboh-heboh mengenai Lina Joy. Jadi, Allah adalah lebih dari Tuhan.
5. Seperti yang pernah saya sebutkan, mintalah pendita Kristian menyelak Bible (yang asal Vatican) mereka dan tunjukkan di mana ada kalimah Allah?
6. Sebenarnya Vatican sendiri menolak pengunaan kalimah Allah untuk merujuk Tuhan. Pernahkah anda mendengar Pope Benedict (pendita rujukan penganut Katolik sedunia) misalnya menggunakan kalimah ini dalam khutbah atau misa beliau? Ini kerana dalam "Declaration on the Relation of the Church to Non-Christian Religions, The Second Vatican Council, Promulgated by His Holiness Pope Paul VI, October 28, 1965' telah pun menyatakan Allah dan Tuhan Kristian berbeza.
7. Konsili Vatican Kedua tersebut menyatakan dengan terang-terang bahawa Allah dalam al-Quran (Islam) berbeza dengan Tuhan yang digambarkan oleh kitab Bible rujukan penganut Kristian. Penyataan Konsili tersebut bermula dengan kata-kata penghormatan buat muslim tetapi menegaskan yang dalil-dalil dari Al-Quran dan Bible tentang 'Tuhan' adalah bertentangan.
8. Penyataan konsili itu menyebutkan:
Ayat dari Bible '2 John 1:9 Whosoever transgresseth, and abideth not in the doctrine of Christ, hath not God. He that abideth in the doctrine of Christ, he hath both the Father and the Son'.
Surah 19:88 They say: "(Allah) Most Gracious has begotten a son!" 89 Indeed ye have put forth a thing most monstrous!"
- Yang bermaksud - 'Dan mereka berkata: Tuhan Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar.'
Sila rujuk surah Maryam ayat 88 dan 89.
9. Terdapat banyak ayat-ayat perbandingan lain dari Bible dan Quran lagi dikemukakan dan Declaration on the Relation of the Church to Non-Christian Religions, The Second Vatican Council, Promulgated by His Holiness Pope Paul VI, October 28, 1965' itu secara tegas menolak penggunaan kalimah Allah untuk orang Kristian. Ini kerana Vatican sendiri menyatakan; Allah menurut Islam tidak punya anak. Sedangkan dalam agama Kristian, Allah punya anak (Astaghfirullah).
10. Oleh kerana Vatican sendiri menolak penggunaan kalimah Allah untuk penyebaran agama Kristian; maka kita tertanya-tanya apakah sebabnya Kristian di Malaysia beria-ia dan bersungguh-sungguh mahu menggunakan kalimah Allah dalam gereja dan dalam akhbar mereka?
11. Umat Islam dari apa jua parti dan jalur mesti bersatu untuk mendepani 'kekeliruan' yang boleh tercetus akibat dari 'insiden/tuntutan aneh' ini. Sila berhenti menyalahkan satu sama lain dan sila berhenti menunjukkan yang kumpulan atau parti anda lebih (kononnya) terkehadapan dalam memperjuangkan isu ini. Ulama dan tokoh politik Islam yang menyokong penggunaan kalimah Allah buat orang Kristian eloklah bertaubat.
Kita berharap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja akan peka dengan isu yang boleh menjadi api dalam sekam ini di tengah-tengah usaha untuk kita memelihara keharmonian bangsa-bangsa Malaysia.
12. Menurut Islam, kalimah Allah mestilah sentiasa digandingkan dengan kalimah Muhammad kekasih-Nya. Saya tidak dapat membayangkan kalimah Allah digandingkan dengan kalimah Jesus 'selaku anaknya'. Bolehkah anda selaku seorang Muslim (tidak kiralah saudara ahli UMNO, PAS atau PKR) menerimanya?