Saturday, February 2, 2008

LAPORAN MUKTAMAR PERKEPIS

MAJLIS PERSIDANGAN AGUNG TAHUNAN (MPAT) ke -3.

Pada 26- 27 Januari 2008, Majlis Persidangan Agung Tahunan (MPAT) PERKEPIS kali ke-3 telah berlangsung di tempat yang cukup istimewa iaitu di Pusat Latihan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang juga merupakan sekretariat PERKEPIS yang baru. Bersempena dengan Majlis Persidangan Agung Tahunan kali ini juga, PERKEPIS turut mengadakan Konvensyen Pelajar Islam Sarawak yang menghimpunkan pelajar Islam di Sarawak. Konvensyen tersebut telah disertai oleh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah – sekolah menengah sekitar Kuching dan Samarahan.

Konvensyen bermula sekitar jam 8:30 pagi setelah selesainya sesi pendaftaran peserta. Konvensyen dimulai dengan ucapan daripada Ustaz Zamri, iaitu Yang Di Pertua ABIM. Didalam ucapan beliau, Ustaz Zamri menekankan peranan belia untuk mengembangkan Islam seperti mana zaman junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Beliau turut menekankan konsep “Generasi Al- Quran” yang perlu dipraktikkan dan dijadikan amalan oleh setiap belia pada hari ini.


Majlis diteruskan dengan ucapan dasar dan perasmian oleh Yang di Pertua PERKEPIS sesi 2006/2007, Saudara Abuza Zaifauddin Bin Zaini. Didalam ucapan dasar beliau menekankan tentang pembudayaan ilmu dalam kalangan generasi muda hari ini kerana ilmu merupakan bahtera penyelamat bagi kesinambungan sebuah perjuangan. Penyatuan Ummah dan Kaderisasi mampu terlaksana jika adanya keterlibatan dalam setiap ahli PERKEPIS. Di dalam kehidupan kita, keperibadian Rasulullah s.a.w merupakan contoh terbaik untuk dijadikan ikutan. Selain itu, di dalam ucapan dasar beliau juga menekankan tentang keterlibatan kaum wanita sebagai bakal pendidik dan murrabbi kepada generasi akan datang dan juga golongan yang berperanan dalam memperjuangkan agama dan negara. Dalam akhir ucapan beliau turut menyelitkan peranan institusi kekeluargaan sebagai satu wadah untuk menerapkan nilai – nilai Islami dalam sistem pendidikan masyarakat. Beliau turut mengingatkan muktamirin dan mutamiran agar memperkukuhkan budaya ilmu dan menghidupkan sunnah nabawiah yang jelas agar kita dapat meneruskan perjuangan di terutamanya di bumi Sarawak pada penghujung ucapan dasar daripada saudara Abuza.



Konvensyen disambung dengan pembentangan kertas kerja oleh Ustaz Hasfa Bin Hassan. Dalam pembentangan, beliau menekankan tentang ilmu yang bermanfaat dan permasalahan yang di hadapi remaja pada hari ini. Beliau juga menyarankan agar kita kembali kepada fitrah dan bersama – sama berusaha untuk membina Generasi Qurani. Selesai pembentangan dari Ustaz Hasfa, pembentangan disambung oleh Saudara Abdul Muntaqim yang menekankan Empat Formula Pembentukan Peribadi Unggul iaitu Intelektual, Idealisme, Aktivisme dan Spritualisme. Beliau mengingatkan empat formula tersebut saling berkaitan dan perlu seimbang.
Selesai solat zohor dan makan tengahari, konvensyen disambung dengan bengkel serta pembentangan hasil kerja. Semasa bengkel dijalankan, setiap peserta konvensyen dari IPT dan sekolah menengah dibahagikan kepada kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai seorang fasilitator. Objektif bengkel ini adalah untuk memikirkan program – program yang sesuai untuk dilaksanakan oleh pihak PERKEPIS. Selesai perbincangan, setiap kumpulan perlu membentangkan hasil buah fikiran masing - masing setelah selesai solat Asar.
Muktamar PERKEPIS ke -3 dimulakan setelah selesai makan malam dan solat Maghrib dan Isyak. Muktamar dimulai dengan pengesahan minit mesyuarat muktamar lepas, perbahasan ucapan dasar dan Pembentangan laporan ringkas Pra Muktamar Lepas. Majlis diteruskan dengan ucapan Penggulungan dan pembubaran Saf kepimpinan PERKEPIS 2006/2007. Saudara Abdul Muntaqim mengumumkan pelantikan Saf kepimpinan PERKEPIS 2007/2008. Majlis muktamar tamat setelah ucapan penggulungan Yang Di Pertua PERKEPIS 2007/2008.


Pada 27 Januari 2008, sebelum solat Subuh secara berjemaah, telah diadakan Qiamulail. Setelah sarapan, majlis diteruskan dengan slot bersama dengan Saudara Mohd Hilmi Bin Ramli, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia. Setelah minum pagi, peserta konvensyen bersurai. Majlis Persidangan Agung Tahunan (MPAT) ke -3 diharap dapat “Memugar Keperibadian Belia Berilmu Kearah Menghidupkan Sunnah Nabawiah”. Insya ALLAH…


Oleh
Dayang Noraida bt Awang Che

No comments: