Segala puji dan syukur hanya bagi Allah s.w.t. serta selawat dan salam ke atas Sayyidina Muhammad Rasulullah s.a.w. Telah sampai kita kepada satu bulan yang dihamparkan keberkatan di dalamnya. Sebagai peluang bagi kita yang masih bernyawa untuk memanfaatkan bulan tersebut sebaik-baiknya. Kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah s.w.t. di atas kesempatan yang direzekikan kepada kita untuk pertemuan buat sekian kalinya dengan bulan Ramadhan al-Mubarak.
Bulan yang dimuliakan di antara bulan-bulan lain. Telah bersabda baginda Rasululullah s.a.w. "Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadhan, lima perkara yang tidak dikurniakan kepada seorang nabi pun sebelumku. Pertama, apabila awal malam bulan Ramadhan, Allah memandang kepada mereka. Sesiapa yang Allah memandang kepadanya, maka dia tidak akan diazab selama-tamanya. Kedua, bau mulut orang yang berpuasa, ketika petang lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Ketiga, para malaikat mengucapkan istighfar bagi mereka pada setiap siang dan malam Ramadhan. Keempat, Allah memerintahkan syurgaNya dengan firmanNya, "Bersiap sedia dan berhiaslah untuk hamba-hambaKu. Hampir-hampirlah mereka akan berehat daripada kepenatan dunia dan berpindah ke negeri dan kemuliaanKu. Kelima, apabila akhir malam Ramadhan, diampunkan bagi mereka semua." (H.R. al-Baihaqi)
Tambah pula dengan segala macam rahsia yang disembunyikan oleh Allah s.w.t. di dalam Ramadhan ini untuk kita cari. Khususnya malam Lailatul Qadr yang dihadiahkan oleh Allah s.w.t. kepada kita yang mana kemuliaannya lebih baik daripada seribu bulan seperti mana yang difirmankan oleh Allah s.w.t. "Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan" (al-Qadr:3). Maka kebodohan apakah yang melanda kita tatkala dihadiahkan kepada kita oleh Pencipta, dan kita menolaknya.
Inilah bulan di mana kita dijanjikan dengan segala macam kebaikan sebagai tebusan akan dosa noda yang telah kita lakukan. Telah bersabda baginda Rasulullah s.a.w.; "… bulan ini, awalnya ialah rahmat, pertengahannya ialah keampunan dan penghujungnya ialah pembebasan daripada azab neraka…" (H.R. Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi dan Abu al-Syeikh Ibnu Hayyan). Inilah peluang yang dihamparkan seluas-luasnya kepada kita untuk menyucikan diri daripada segala noda dan dosa yang telah mengotori hati dan jasad kita. Kita dijanjikan dengan keampunan akan dosa-dosa kita yang lalu dengan kita berpuasa dalam Ramadhan dengan keikhlasan dan keimanan, "Sesiapa yang mendirikannya (Ramadhan) dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan baginya dosa yang telah lalu" (H.R. Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasa'ie, Malik, Ahmad dan Baihaqi).
Mengimarahkan Ramadhan dengan sebaik mungkin dengan segala macam amalan sunat yang mengiringi amalan yang telah difardhukan ke atas kita. Sesungguhnya baginda Rasulullah s.a.w. telah bersabda; "…Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan tersebut dengan satu jenis kebaikan, maka dia seolah-olah menunaikan satu kefardhuan pada bulan yang lain. Sesiapa yang menunaikan satu kefardhuan pada bulan terse but, maka dia seolah-olah menunaikan 70 kefardhuan pada bulan yang lain…" Maka hanya kejahilan sahaja yang menjadikan kita tergolong dalam golongan yang mempersiakan Ramadhan. Maka telah dianjurkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. kepada kita umatnya untuk diamalkan dengan sebanyak-banyak dalam Ramadhan; "Hendaklah kalian memperbanyakkan pada bulan ini empat perkara: Dua perkara yang menyebabkan Tuhan kalian meredhai kalian dan dua perkara yang kalian amat perlukan. Dua perkara yang menyebabkan Tuhan kalian meredhai kalian ialah penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sentiasa memohon keampunanNya. Manakala dua perkara yang kalian perlukan ialah kalian memohon syurga kepada Allah dan berlindung denganNya dari neraka…" (H.R. Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi dan Abu al-Syeikh Ibnu Hayyan).
Justeru, dalam kesempatan ini, saya serta mewakili Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) mengucapkan Selamat Menyambut & Mengimarah Ramadhan al-Mubarak! Semoga Ramadhan pada kali ini memberi makna dalam kehidupan kita. Hidupkanlah diri dengan amal sebanyak-banyaknya di bulan yang dimuliakan ini dan hidupkanlah sekeliling kita dengan bi'ah sesuai dengan kemuliaan Ramadhan. Bersamalah kita memuliakan Ramadhan dengan memberikan penghormatan yang selayaknya buat bulan keberkatan ini. Saya menyeru diri yang faqir ini serta seluruh umat Islam khususnya para pelajar, mahasiswa dan belia Islam Sarawak untuk menjadikan Ramadhan kali ini sebagai wadah muhasabah untuk kita semua dalam mendepani kehidupan hari muka.
No comments:
Post a Comment