Thursday, September 10, 2009

NUZUL AL-QURAN

Satu peristiwa yang amat penting kepada umat Islam ialah penurunan al-Quran pada malam lailatul Qadar. Pada setiap Ramadan, Rasulullah s.a.w. bertadarrus, belajar dan memahami al-Quran daripada Jibrail. Ia bukan sekadar membaca tetapi yang lebih penting ialah memahami dan memerhati serta melaksanakan tuntuntan al-Quran.Dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Muslim menyebutkan bahawa Rasulullah telah bersabda :

“ Tidak ada satu kaum yang berhimpun pada satu rumah Allah daripada rumah-rumah Allah yang membaca al-Quran dan belajar memahaminya dikalangan mereka melainkan Allah menurunkan rahmat dan ketenangan , dilindungi oleh para malaikat dan diingati oleh Allah disisinya”.

Firman Allah yang bermaksud : “Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran untuk memberi panduan kepada manusia dan keterangan yang nyata. (al-Baqarah, ayat 185) Al-Quran merupakan cahaya yang menerangi akal, jiwa dan hati manusia serta panduan kepada sistem kehidupan manusia.

Firman Allah yang bermaksud : “ Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya daripada Allah dan kitab yang menerangkan.


Dengan kitab itulah Allah memimpin orang-orang yang mengikuti keredahaanNya ke jalan keselamatan.” ( al-Ma’idah, ayat 15-16) Ia menjawab persoalan yang sentiasa terpahat dalam pemikiran manusia mengenai dirinya sendiri sejak sekian lama iaitu dari mana ia datang, apakah tujuan hidup dan ke mana ia akan pergi.

Kenapa kehidupan ini adanya hidup dan mati. Al-Quran menjawab kesemua persoalan tersebut. Kedatangan manusia di atas muka bumi ini membawa amanah dan kehidupannya bukan untuk sehari atau setahun sepertimana pendapat segolongan yang mengatakan bahawa yang memisahkan hidup dan mati adalah masa sahaja.

Al-Quran menegaskan bahawa manusia ini dijadikan untuk mendiami akhirat untuk selama-lamanya dan kematian itu bukan sebagai penghabisan hidup malahan manusia akan berpindah dari satu negeri yang bersifat sementara ke dunia yang kekal abadi.

Allah berfirman dalam surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud : “ Kami jadikan kematian dan kehidupan untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya.” Melalui al-Quran manusia mengetahui tujuan dan matlamat hidupnya serta tugasnya sebagai hamba Allah yang memakmurkan bumi ini.”

LANJUTAN: http://www.mindamadini.my

No comments: