Tahniah diucapkan kepada adik-adik lepasan SPM dan STPM 2009 di atas keputusan yang telah diterima oleh masing-masing (STPM: 25 Feb 2010 & SPM: 11 Mac 2010). Biar apa pun keputusan yang tercatat pada slip keputusan masing-masing, tahniah diucapkan kerana telah menerima keputusan selayaknya dengan usaha yang digiatkan dan doa yang dipanjatkan oleh adik-adik selama ini. Tahniah juga diucapkan kepada adik-adik kerana telah selesai melalui alam persekolahan dan bakal memulakan langkah di fasa baharu kehidupan.
Yakinlah bahawa dengan memperolehi keputusan masing-masing bukanlah satu penamat, tetapi adalah permulaan kepada fasa kehidupan seterusnya di alam pengajian tinggi. Adik-adik akan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dengan mengejar segulung sijil, diploma atau sarjana muda. Percayalah bahawa biar apa pun keputusan yang diperolehi, tentu pasti bahawa ruang dan peluang untuk adik-adik melanjutkan pengajian sentiasa terbuka luas. Pokoknya, kalau mahu seribu daya tetapi kalau tidak maka seribu dalih.
Dengan genggaman erat adik-adik pada slip keputusan masing-masing, harus difikirkan bahawa bukan sahaja adik-adik akan melangkah lebih lanjut di dalam lapangan akademik. Malah sebenarnya adik-adik juga sedang melangkah lebih lanjut di dalam lapangan agama, kerjaya, sosial, ekonomi, keluarga, budaya, politik dan lain-lain lagi menerusi kehidupan yang disediakan kepada kita. Masa hadapan adik-adik ditentukan dengan kebijakan dan kematangan adik-adik di dalam memilih langkah di dalam kehidupan ini. Ketahuilah bahawa setiap langkah yang adik-adik ambil hari ini tentu pasti mempengaruhi masa hadapan adik-adik-adik di lapangan-lapangan yang ada.
Adik-adik harus sedar dan insaf daripada pelbagai contoh dan iktibar generasi terdahulu samada yang kini sedang menempa kejayaan demi kejayaan atau kegagalan demi kegagalan. Setiap seorang daripada mereka telah mengambil langkah masing-masing untuk meneruskan kehidupan, fasa demi fasa yang datang. Ramai yang gembira dan tidak kurang juga yang menyesali langkah-langkah yang mereka ambil ketika di usia adik-adik. Oleh itu, kini tiba masanya untuk adik-adik pula untuk berbuat serupa. dengan pertimbangan sewajarnya terhadap masa depan yang ingin adik-adik cipta untuk diri, keluarga, umat, negara dan yang paling penting, Islam. Apakah langkah yang akan adik-adik ambil untuk meneruskan kehidupan di fasa seterusnya?
Fasa seterusnya yang akan adik-adik tempuhi di dalam kehidupan menjanjikan pengalaman yang amat menarik. Di hadapan adik-adik terbentang 1001 ruang dan peluang serta cabaran dan dugaan untuk adik-adik rebut dan tempuhi. Hanya mereka yang berkualiti sahaja akan berjaya melepasi fasa seterusnya ini dengan jayanya. Dengan kekuatan rohani, keluasan ilmu, ketinggian cita-cita dan kesungguhan usaha, maka adik-adiklah tergolong di kalangan mereka yang berjaya!
Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) bersyukur kerana diizinkan oleh Allah s.w.t. untuk tampil sebagai organisasi pelajar Islam di Sarawak untuk komited dan konsisten bagi melatih dan membangunkan diri adik-adik mendepani fasa baharu kehidupan yang bakal adik-adik tempuhi dengan jayanya. Adik-adik adalah wajah umat dan agama Islam masa hadapan. Adik-adik adalah pewaris peradaban umat dan agama Islam. Adik-adik adalah pejuang-pejuang yang didambakan umat dan agama Islam. PERKEPIS menawarkan segala kekuatan yang ada kepada adik-adik untuk sama-sama kita meneruskan perjuangan mencipta generasi pemangkin kecemerlangan umat dan agama Islam khususnya di Sarawak dan Malaysia amnya.