Monday, October 20, 2008

MEMAKNAKAN KEMERDEKAAN : SUDAH SELESAIKAH TUGAS KITA?

Tuesday, September 02, 2008
oleh: Shamsiah Mahli
Pengerusi HELWA ABIM Sarawak

Tahun 2008 merupakan tahun kedua aku menyambut malam kemerdekaan di Bumi Kenyalang. Sejak enam tahun yang lalu, melalui detik 31 Ogos hanyalah di kolej mahupun di sekretariat PKPIM. Tidak pula aku meninjau suasana sambutan malam kemerdekaan kerana padaku ketika itu hanyalah sia-sia belaka.

Dua hari sebelum itu, aku menerima mesej pesanan ringkas daripada Baya, mengajak untuk membuat kajian tinjauan sempena sambutan malam kemerdekaan di sekitar bandar Kuching. Satu idea yang baik dan mungkin aku beroleh sesuatu pada malam itu nanti!

Sekitar jam 9.15 malam, aku tiba di sekretariat PERKEPIS. Kedatangan aku agak lewat kerana selepas asar mahu meneman ibu ke pusara ayah. Mujurlah mereka baru sahaja memulakan perbincangan dan ’mind setting’ untuk kajian tinjaun malam merdeka. Aku sempat memberikan sedikit pandangan dan pendapat untuk kajian tinjauan malam itu agar mind setting mereka terarah. Menjadi kerisauan pada aku dan beberapa sahabat yang lain adalah mengenai tindakan kita selepas sahaja kajian tinjuan ini dijalankan. Pastinya aku tidak mahu ianya hanya tinggal kajian. Namun ianya sedikit pun tidak dapat membuka mata kita untuk bertindak! Walaubagaimanapun, aku optimis dengan mereka. Jika diberi peluang, pasti ada hasilnya. Cuma perlu dibimbing dan dipantau.

Dalam melaksanakan kajian tinjauan ini, apakah objektif yang ingin kita capai? Apakah yang ingin kita perhatikan dan apakah objek kajian kita? Persoalan-persoalan ini perlu dijawab kerana ia membantu dalam ’mind setting’ aktivis yang bakal turun ke lapangan.

Sebetulnya, ia hanya bersifat kajian tinjaun. Tidak pula melibatkan angkubah bersandar dan tidak bersandar. Mungkin pada tahun depan, bentuk kajian ini perlu menumpukan kepada angkubah yang relevan. Kajian tinjauan hanya bersifat deskriptif. Tidak perlu membuat sebarang perkaitan, sebab dan akibat. Objektif kajian tinjauan ini hanyalah sekadar membuat pemerhatian tentang suasana serta keadaan semasa menjelangnya tarikh 31 Ogos di tempat-tempat yang mana dirasakan menjadi tumpuan orang ramai pada ketika itu. Water Front, Panggung Udara, Bangunan MASJA, Padang Merdeka, Water Front Kampung Gersik misalnya adalah tempat-tempat yang menjadi tumpuan sambutan ambang merdeka.

Apa yang ingin kita perhatikan? Dan siapa pula objek kajian kita? Dua persoalan ini saling berkaitan di antara satu sama lain. Apa yang ingin kita perhatikan adalah bagaimana caranya sambutan kemerdekaan itu disambut oleh remaja yang menjadi objek kajian, bagaimanakah cara mereka berpakaian serta tingkah laku mereka. Tidaklah sukar bagi kita membuat tinjaun bukan?

Aku sempat berseloroh dengan adik-adik sisters. Pakaian kita malam ini agak brutal sikit dan tidaklah pula berpakaian seperti pengkaji! Tidak perlu untuk membawa pen dan ’note pad’ untuk dicatat apa yang diperhatikan. Ingat dalam minda. Tidak perlu berlagak seperti pengkaji atau pegawai pencegah maksiat. Jadi orang biasa. Namun punyai misi sendiri. Jadi ’neutral’ dan ’be yourself’. Mungkin ada yang kurang setuju dengan pendapat sebegini. Bagiku, setiap pemerhatian yang dilakukan, sikap ’bias’ adalah sikap yang perlu dijauhi supaya hasil kajian tidak bersandarkan emosi dan pengalaman yang lalu.

Ingin aku sisipkan sekali pandangan orang lama seperti auntie am (anyway thanks mak and auntie am. They join me too!) Mungkin pandangan yang diutarakan ini bagi aku terlepas pandang untuk dimasukkan dalam kajian tinjauan ini. Ia berkaitan dengan pilihan tempat kajian. Seharusnya pemilihan tempat kajian adalah bersandarkan kepada program sambutan rasmi malam kemerdekaan dan program tidak rasmi. Maksudnya begini. Kita dapat membezakan suasana,keadaan,kondisi antara dua tempat tersebut. Barangkali hasil pemerhatian juga berbeza bukan? Sebagai contoh, tempat kajian aku kali ini adalah di Water Front. Kebetulan ada pada ketika itu hanyalah pameran SME (Small & Medium Enterprise). Segenap peniaga-peniaga kecil dan sederhana besar mempamerkan barang jualan mereka. Nampaknya perniagaan gelang tangan kristal sudah mula ramai peniaga kecil yang mengusahakannya. Walaupun lebih ramai yang melihat daripada membeli, itu lumrah sebagai peniaga. Pasang surut, untung rugi adalah cabaran yang perlu dihadapi kalau ingin terus berjaya dalam bidang yang memberikan 9/10 keuntungan. Pada aku, usaha seperti ini merupakan usaha yang positif dalam mengisi malam kemerdekaan. Inilah peluang kepada peniaga-peniga kecil mempromosikan barangan mereka kepada orang awam. Walaupun untung tidaklah seperti yang dijangka barangkali, namun yang penting membina ‘hubungan’ dengan pembeli dan pelancong.

Sambutan rasmi Ambang Merdeka di Bandar Kuching adalah di Panggung Udara, berdekatan dengan Mizium Negeri Sarawak. Aku tidak berapa pasti aktiviti pada malam tersebut. Bro afiq dan beberapa rakan lain telah ditugaskan untuk membuat kajian tinjaun di sana.


Pada malam di ambang kemerdekaan, pelbagai aktiviti dan program dilaksanakan serentak seluruh negara. Menanti tepat jam 12.00 tengah malam, percikan bunga api pelbagai warna dan corak menjadi acara kemuncak sambutan malam kemerdekaan. Dentuman bunga api merancakkan lagi nada suara melafazkan ’merdeka’, diiringi suara-suara meneriak menyambut suara pertama merdeka. Mengenggam tangan menjadi penumbuk, diarahkan ke atas langit, mengibar bendera jalur gemilang, berlari-lari anak di jalanan sambil membawa bendera ’negeriku tanah tumpahku’ adalah di antara aksi yang dapat ditonton pada segenap mata memandang. Bangganya menjadi anak Malaysia! Bangganya menjadi anak Sarawak!

Sesekali mata memandang gelagat sekumpulan remaja lelaki, di tengah jalan, dilututnya diikat bendera negeri. Lagaknya seperti kaki pukul, padahal badannya hanya seperti sebatang lidi. Di manakah agaknya makna merdeka bagi mereka? Di manakah letaknya kehormatan dan maruah bendera negeri? Adakah letaknya di lutut kaki?

Haruman arak kelas ketiga tidak pernah hilang dihidung. Pelik tapi benar. Arak diletakkan dalam botol mineral 1.5 liter. Entah berapa banyak mulut mencium mulut botol. Ditambah lagi dengan hiasan asap rokok, berkepol-kepol keluar tidak pernah padam sumbunya walaupun hujan mulai turun. Begitulah pengisian di ambang merdeka. Tahun ini dan tahun sebelumnya barang kali sama atau pada malam hujung minggu pun lakonan yang sama diulang!

Selesai sahaja dentuman dan percikan bunga api, orang ramai mula beredar dari tempat sambutan malam kemerdekaan. Mungkin untuk pulang ke rumah masing-masing atau singgah minum di kedai makan 24 jam non stop untuk mengisi perut yang lapar akibat menunggu saat-saat bunga api memercikkan kilauannya. Berbagai-bagai gaya dan rupa rakyat Malaysia atau barangkali orang luar yang ditemui. Tua, muda, kanak-kanak, bayi, lelaki, perempuan dan dari pelbagai bangsa dan etnik. Jalan-jalan tidak pernah putus dengan ratusan kereta bermula awal malam dan barangkali sehingga awal pagi besok agaknya.

Dalam perjalanan pulang, aku, mak dan auntie am sempat berbincang sesama kami. Apakah sambutan rasmi malam kemerdekaan hanya untuk golongan ekslusif dan VIP semata-mata? Jalan menuju ke Panggung Udara ditutup untuk kenderaan awam. Hanya kereta yang mempunyai pelekat VIP sahaja dibenarkan masuk ke sana. Nikmat melihat percikan bunga api hanya dapat disaksikan sepenuhnya oleh golongan tertentu sahaja. Rakyat biasa, cukuplah melihat ekornya sahaja.

Beberapa malam sebelum sambutan kemerdekaan, sambutan Majlis Kesyukuran sempena Kemerdekaan telah di adakan di salah sebuah masjid terkemuka di Bandar Kuching. Jemputan dan jemaah dijangka hadir lebih kurang 2000 orang. Namun yang datang hanyalah 200 orang sahaja! Peliknya, kawasan perumahan yang berdekatan tidak pula dimaklumkan akan adanya majlis tersebut termasuk aku sendiri! Untung besarlah ‘catering’ yang menyediakan juadah pada malam itu. Bukan sahaja penuh poket berisi, perut juga dapat diisi lagi!

Begitulah sempatku kongsikan pengalaman semasa menjalankan kajian tinjaun di ambang merdeka. Macam-macam caranya remaja sambut kemerdekaan. Masing-masing punya cara sendiri. Namun terisikah makna kemerdekaan?

Seperti yang aku sebutkan pada awal catatan ini, setelah kita membuat pemerhatian, mengumpul maklumat dan membuat analisis, apa tindakan kita selepas ini? Apakah penyelesaian atau apakah alternatif yang boleh kita cadangkan dalam mengisi makna kemerdekaan kepada generasi muda. Aku akui, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri malah NGO sebagai kuasa ketiga banyak menyediakan program-program untuk mengisi makna kemerdekaan bagi rakyat Malaysia. Itu belum lagi dikupas mengenai keberkesanan program tersebut.

Aku lebih suka untuk menuding jari pada diriku dan gerakan dakwah yang aku sertai sekarang. Soalannya mudah. Apakah aktiviti dan program yang aku dan rakan-rakan dakwah telah laksanakan dalam mengisi makna kemerdekaan bagi generasi muda selain menjadi panel dan penceramah jemputan sempena sambutan kemerdekaan? Jawapan jujurku ialah tiada. Kadang-kadang aku berfikir mengapa aku dan rakan-rakan dakwah yang lain tidak aktif untuk berpatisipasi dalam kawad kemerdekaan yang di adakan setiap tahun? Bukankah ini salah satu cara untuk memperkenalkan gerakan dakwah diperingkat masyakat? Walaupun ianya bukanlah satu keutamaan dan bukanlah satu-satunya cara dan metod untuk memperkenalkan diri dengan masyarakat. Sekurang-kurangnya jaringan dakwah kita bertambah! Kita ramai kenalan dikalangan muslim dan bukan muslim.

Satu lagi perkara yang aku rasa aku dan rakan-rakan dakwah yang lain perlu lakukan. Kalau sudah terlepas untuk sambutan kemerdekaan pada tahun ini, sambutan tahun baru masih ada. Kenapa kita tidak laksanakan “Kembara Hijrah 2009” bertemakan “Mengangkat Martabat Generasi Muda Sarawak”? Kembara di malam tahun baru dengan berjalan kaki dari Masjid Bahagian Negeri Sarawak ke Masjid Jamek Petra Jaya? Kita pastikan kita menjejakkan kaki ke Masjid Jamek tepat jam 12.00 tengah malam. Pada malam itulah, kita berikan pengisian tentang kemerdekaan yang sebenar. Isi minda dan akal mereka dengan sesuatu yang bermanfaat dan bukan hanya pandai bersorak sahaja. Inilah salah satu program yang dilaksanakan di Singapura.(Kalau tak silap akulah) Kenapa kita tak lakukan?

Ya, memanglah dikalangan kita hanya menyambut tahun baru Hijrah 1430H. Boleh, apa salahnya. Namun, kita ikut manhaj Sarawakiy. Lihat sasaran dakwah kita. Bukan sahaja hati mereka yang dapat kita sentuh, tetapi kita juga berjaya menjadikan Masjid sebagai pusat komuniti.

Bagaimana dengan kita. Bersediakah sahut cabaran? Sudah selesaikah tugas kita mengisi makna kemerdekaan pada generasi muda?

“Aku tidak bermaksud kecuali mendatangkan kebaikan selama mana aku masih mampu. Dan tidak ada taufiq bagiku melainkan dengan pertolongan Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepadaNYA aku kembali”
(Surah Hud : 88)

Sumber: http://shamsiahauntieam.blogspot.com/2008/09/memaknakan-kemerdekaan-sudah-selesaikah.html

Bahasa Akal Bahasa Hati

“Harry, open the door!”

“Harry, can you please open the door!”

Dua ungkapan dengan maksud yang sama, tetapi menghasilkan kesan yang berbeza.

Semasa saya kecil, Sesame Street adalah salah sebuah rancangan televisyen yang amat saya minati. Salah satu episod yang masih segar di ingatan saya ialah “The Magic Word“.


“The Magic Word” bertujuan mengajar kanak-kanak supaya menggunakan perkataan-perkataan yang sopan terutamanya apabila meminta pertolongan. Perkataan please, kindly dan yang seumpama dengannya adalah “The Magic Word” yang dimaksudkan.

AKAL DAN HATI

Saya sentiasa berhati-hati agar jangan perkataan saya menyinggung sesiapa. Maka saya juga mengharapkan yang sama dari orang lain. Ia adalah fitrah manusia. Allah mencipta manusia dengan akal dan hati, yang saling berbeza tabiat dalam memberikan reaksi kepada perkataan. Akal memproses logik. Hati memproses emosi.

Akal dan logik menghasilkan tahu.

Hati dan emosi mencetuskan mahu.

Apabila kita meminta sesuatu dari orang lain dengan menyebut “Ali, buka pintu tu”, ia adalah arahan kepada akal. Apabila akal memahami arahan tersebut, ia akan memberikan kefahaman tentang reaksi dan tindakan yang sepatutnya diambil terhadap arahan itu.

Tetapi arahan yang hanya mempedulikan akal, walaupun boleh difahami, ia mungkin tidak mencetus mahu. Arahan itu tidak mengambil kira soal hati. Sedangkan kemahuan datang dari hati.

Bagaimana kalau ayat yang sama diungkap dengan cara yang lebih sopan, seperti “Ali, tolong bukakan pintu tu. Terima kasih!”

Bagaimanakah perasaan dan kesediaan kita untuk bekerjasama dengan permintaan yang sedemikian rupa, berbanding arahan pertama?

Saya yakin, kita lebih bersungguh dan berkemahuan untuk memenuhi permintaan itu kerana perkataan “buka pintu” memberitahu akal, manakala perkataan “tolong” dan “terima kasih” menggerakkan hati.

Tidak bolehkah peraturan semudah ini kita amalkan dalam hidup?

LUQMAN DAN BAHASA KASIH SAYANGNYA

Lihat sahaja bagaimana Luqman menasihati anaknya. Beliau mulakan ungkapan nasihat itu dengan lafaz “Ya Bunayya“, yang boleh dimaksudkan sebagai “wahai anakku sayang”. Ia adalah lafaz akal dan hati. Luqman tidak bersikap angkuh terhadap anaknya atas status dirinya sebagai bapa. Malah kuasa kasih sayang dan bahasa yang mengungkapkannya, menjadikan nasihat itu lebih berkesan dan penuh hikmah.

Manusia tidak bertindak berdasarkan apa yang dia tahu (akal), tetapi manusia bertindak berdasarkan apa yang dia mahu (hati). Jangan lupa yang itu. Jangan hanya mengeluarkan arahan, tetapi manfaatkan fitrah manusia yang ada perasaan.

BAHASA TERHAKIS

Saya semakin merasakan betapa generasi hari ini semakin tidak mempedulikan bahasa. Tidak pandai berbahasa. Tidak bijak menutur kata. Saya tidaklah mengharapkan bahasa bangsawan atau sastera. Tetapi cukup dengan bahasa “The Magic Word” yang sudah begitu sebati dengan adat resam dan budaya kita.

Lihat sahaja pada mesej-mesej di shoutbox dan komen. Saya tidak bermaksud mahu memperlekeh sesiapa, tetapi saya tidak enak membaca tulisan yang tidak manusiawi. Tidak cerdik berkata-kata. Apakah kerana generasi muda hari ini semakin banyak berhubung di alam virtual, maka mereka menjadi tuli terhadap nilai-nilai kemanusiaan pada bahasa dan perhubungan?

Sengaja saya cetuskan Sesama Street sebagai muqaddimah kisah ini kerana saya ingin menunjukkan kepada pembaca betapa masyarakat Barat, masih ramai yang particular dan mengambil berat tentang hal ini. Mereka mengajar anak-anak mereka berbudi bahasa.

Bagaimana dengan kita yang Muslim ini? Islam yang mengajar kita bahawa muka dan bahasa yang manis itu adalah suatu kebajikan. Bagaimana dengan Melayu yang suka dikenali sebagai bangsa yang berbudi bahasa?

Sudikah kalian memikirkannya? Terima kasih.

Sumber: http://saifulislam.com/?p=789

Islam Tersebar Dengan Kasih Sayang

Segala lafaz puji bagi Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan agung yang dikasihi dan dirindui, Rasulullah Muhammad s.a.w., ahli keluarganya serta sahabatnya seluruhnya. Syukur kepada Allah, dengan keizinan-Nya, maka pada hari ini kita dapat menyaksikan begitu banyak pertubuhan-pertubuhan Islam yang memainkan peranannya dalam konteks dakwah, pendidikan dan proses Islamisasi itu sendiri. Malah, ramai juga di kalangan generasi muda yang terlibat secara aktif dengan gerakan-gerakan dakwah tersebut, mengorbankan masa, tenaga dan wang mereka demi menegakkan agama. Namun, kadang-kala adalah agak menyedihkan juga apabila ada di kalangan generasi muda yang melibatkan diri dalam gerakan dakwah meminggirkan budaya ilmu lantas menggerakkan aktiviti-aktiviti dakwah mereka itu dengan cara yang kurang tepat.


Kita perhatikan bagaimana contoh satu kes – tanpa perlu menyebut nama sesiapa atau mana-mana pihak – yang berlaku terhadap beberapa orang pelajar Islam perempuan tingkatan 4. Mereka telah menghadiri sebuah program anjuran sebuah pertubuhan Islam, di mana pada satu ketika tudung seorang perempuan yang menggunakan tudung tiga segi (tetapi cukup labuh) terbuka di tengahnya (mungkin terlupa diletakkan pin atau pin sudah tercabut). Lantas seorang kakak fasilitator telah mengetip tudung peserta perempuan itu tadi dengan ‘stapler’ dan kemudian telah memarahinya. Hal itu telah menyebabkan para peserta tersebut berasa sangat tersinggung dan sangat tidak senang dengan para fasilitator mereka. Nah, kalau begitu sikap seorang ‘fasilitator Islam’ atau ‘pendakwah’ terhadap mereka yang bertudung, entah bagaimana mereka mendekati dan merapati wanita-wanita yang tidak bertudung?


Pastinya ramai yang berasa sedih dengan sikap mereka yang cuba ‘berdakwah’ dengan pendekatan seperti yang diceritakan di atas. Itulah antara yang berlaku apabila dakwah cuba dilakukan dengan mengikut emosi dan pandangan akal sendiri semata-mata; itulah yang berlaku apabila ‘budaya ilmu’ diketepikan dan dipinggirkan dalam menggerakkan usaha dakwah. Sikap dan pendekatan yang ‘keras’ dan ‘rigid’ dalam berdakwah hanya lebih banyak mewujudkan jurang perbezaan, rasa tidak senang dan malah mungkin rasa benci dalam diri orang yang cuba didekati. Malah, tidak mustahil juga akan mewujudkan persepsi yang negatif dan silap tentang Islam itu sendiri. Harus difahami, Islam tersebar atas kasih sayang dan hikmah, bukan melalui kekerasan dan paksaan.


Sikap ‘keras’ dan ‘rigid’ yang digunapakai oleh para pendakwah muda khususnya pada hari ini terhasil daripada faktor lemahnya budaya ilmu serta kehilangan adab dalam berdakwah. Kedua-dua hal itu pun, sebenarnya, saling berkaitan antara satu sama lain. Justeru, seorang pendakwah yang benar-benar ikhlas dalam perjuangannya, pasti akan bersedia membuka hatinya dan akalnya untuk melakukan penilaian terhadap apa sahaja yang mereka lakukan.


Faktor kekurangan ilmu yang menjurus kepada sikap ‘keras’ dan ‘rigid’ dapat dilihat apabila kita memerhatikan sekian banyak hujah dan dalil yang menerangkan kepada kita betapa kaedah berdakwah itu sebenarnya adalah penuh dengan hikmah, kasih sayang, serta lemah lembut. Kaedah dan pendekatan sebegitu sememangnya akan mengambil masa yang panjang dan lama, tetapi ia efektif dan kekal lama. Namun, apabila budaya ilmu tidak dijadikan paksi dalam menentukan sikap, maka apa yang berlaku adalah seorang pendakwah itu akan cenderung untuk bersikap secara ‘ikut-ikutan’ atau mengikut apa sahaja yang pada pandangan akal mereka yang terbatas itu sebagai betul dan tepat.


Dalam soal kasih sayang, guru kami Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki telah meriwayatkan kepada kami Hadith Musalsal bi al-Awwaliyyah yang diterimanya daripada gurunya yang tersohor, al-Muhaddith Syeikh Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani, yang maksudnya: “Orang yang mengasihi akan dikasihi oleh Allah Yang Maha Penyayang, kasihilah penduduk bumi, kamu akan dikasihi oleh penduduk langit.”


Nah, bukankah hadith tersebut menggambarkan kepada kita betapa besarnya nilai kasih sayang? Umat Islam itu bersatu dalam kasih sayang, dan sudah tentu lebih hebat lagi apabila kasih sayang itu diikat erat oleh cinta hakiki kepada Allah! Perasaan kasih sayang sudah tentu akan membawa kepada pendekatan secara berhikmah dan lemah lembut dalam usaha untuk mencorak dan membetulkan kefahaman dan akhlak yang salah. Harus diingat bahawa tugas pendakwah adalah untuk menyeru manusia kepada kebenaran, untuk menyampaikan kefahaman. Kefahaman dan kesedaran itu pula, sudah tentu, perlu disampaikan secara baik dan lemah lembut. Mana mungkin kefahaman itu dipaksakan! Ramai pendakwah yang mungkin terkeliru apabila melalui cara paksaan mereka mampu melihat perubahan. Namun, sedarlah bahawa perubahan itu hanyalah perubahan luaran dan tidak semestinya menandakan kefahaman telah tercapai. Atas sebab yang sama, kita perhatikan, bagaimana terdapat ramai para pelajar Islam perempuan yang dilatih dan dikenakan peraturan (dipaksa) untuk memakai tudung daripada Darjah 1 sehingga Tingkatan 5 – itu tempoh 11 tahun! – tetapi akhirnya apabila tamat zaman persekolah masing-masing mula tidak memakai tudung. Sebabnya kerana pemakaian tudung itu dipaksakan, bukan difahamkan.


Perhatikan bagaimana contoh agung kita, Rasulullah Muhammad s.a.w. mempamerkan kasih sayang dan kelembutan baginda dalam melaksanakan usaha dakwah. Kita maklumi, bagaimana dalam perantauan Rasulullah s.a.w. ke Thaif, baginda tidak diterima. Malah, baginda diejek-ejek, dilontar dengan batu sehinga berdarah-darah tubuhnya. Ketika itulah malaikat segala gunung datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata: “Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah telah mendengar perihal kaum bangsamu dan tindak balas mereka terhadap seruan kau. Aku ini malaikat segala gunung diutuskan oleh Tuhanmu dan perintahkanlah apa sahaja aku ini, untuk apa yang engkau mahu. Kalau mahu aku boleh hempap ke atas mereka bukit Al-Akhsyabin.” Lalu dijawab oleh baginda Rasulullah s.a.w.: “Tapi apa yang aku mahu biar Tuhan melahirkan dari sulbi mereka suatu golongan yang menyembahNya tanpa mensyirikkanNya. Itu sahaja yang ku mahu.” Bayangkanlah betapa Rasulullah s.a.w. berlembut dengan orang yang terang-terang menghina dakwahnya, malah menyakiti fizikalnya! Bukankah sikap itu harus kita contohi?


Selain daripada itu, firman Allah S.W.T. yang lebih kurang maksudnya:

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu...” (Surah Ali ‘Imran, ayat 159)


Ayat di atas, antara lain, merupakan satu penegasan daripada Allah S.W.T., sebagai pujian kepada baginda Rasulullah s.a.w., bahawa sikap baginda yang lemah-lembut, adalah kerana Allah telah memasukkan ke dalam diri baginda Rasulullah s.a.w. dengan rahmat-Nya. Rasa rahmat, belas kasihan, serta kasih sayang itu telah ditanamkan oleh Allah ke dalam diri baginda, sehingga rahmat itu telah mempengaruhi sikap baginda dalam memimpin. Sifat Allah S.W.T. Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, dalam menguruskan makhluk-Nya, sudah tentu adalah merupakan sifat yang perlu kita sebagai hamba-Nya mencontohinya.


Dalam ayat tersebut juga dengan jelas menceritakan bahawa sikap yang ‘kasar’ dan ‘rigid’ itu hanya akan membuatkan orang semakin jauh daripada seorang pemimpin atau pendakwah itu. Apabila seseorang itu telah menjauhkan diri daripada seorang pendakwah, maka bagaimana pendakwah itu hendak menjalankan tugasnya dalam menyampaikan kefahaman yang benar tentang agama ini? Atas sebab itu Prof. Dr. HAMKA menyatakan bahawa andaikata para sasaran dakwah (madh’u) itu menjauhkan diri daripada pendakwah, maka bukanlah madh’u itu yang patut disalahkan sebaliknya pendakwah itulah yang seharusnya melakukan muhasabah terhadap dirinya sendiri.


Begitu juga halnya bahawa dalam berdakwah ini pendakwah haruslah mengambil sikap menggunakan pendekatan ‘mendidik’, bukannya ‘mengajar’ atau ‘menghukum’. Proses mendidik itu, yang seharusnya terkandung di dalamnya elemen kasih sayang, perlulah dilaksanakan dengan baik dan berhikmah. Al-Muhaddith Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani menyatakan bahawa dalam melaksanakan konsep amar ma’ruf dan nahi munkar, perlu kepada sikap berhikmah (bijaksana) dan memberi peringatan yang baik. Jika ada yang perlu diperdebatkan pun, haruslah dilakukan dengan cara yang terbaik; sepertimana firman Allah S.W.T. yang lebih kurang maksudnya:

“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah An-Nahl, ayat 125)


As-Syeikh Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani menyatakan lagi bahawa cara ini lebih mudah diterima dan mendekatkan lagi kepada terhasilnya apa yang diharapkan. Adapun menyanggahi cara ini, merupakan suatu kesilapan dan kebodohan.


Syeikh Muhammad Abduh pula menyimpulkan daripada ayat al-Qur’an yang disebut di atas bahawa untuk mendepani sasaran dakwah yang pelbagai, ada kaedah pelbagai yang harus digunakan. Bagi menghadapi golongan cerdik pandai dan cendekiawan, seorang pendakwah itu haruslah menggunakan dalil-dalil dan hujah-hujah yang kuat yang sesuai dengan kekuatan akal mereka. Bagi golongan orang kebanyakan pula, mereka harus diajar dengan didikan, bimbingan, contoh-contoh yang baik dan yang mudah difahami. Bagi golongan yang di antara dua golongan tersebut pula, kaedah bertukar-tukar pandangan bagi mendorong pemikiran harus digunakan. Umumnya, semua melibatkan proses ‘menyampaikan sesuatu kefahaman’, yang sememangnya tidak mungkin dibuat secara paksaan ataupun dengan menggunakan cara memarahi atau kata-kata yang tidak baik dan bersifat provokatif.


Banyak lagi hujah dan contoh yang lain yang akan dapat menyampaikan kita kepada kesimpulan betapa Islam itu seharusnya tersebar melalui pendekatan hikmah dan kasih sayang. Hikmah itu pula, sudah tentu, memerlukan kepada ilmu pengetahuan yang benar tentang apa yang ingin disampaikan (isi dakwah), siapa yang akan menerimanya (sasaran dakwah dan suasana lingkungan), serta kaedahnya (kaifiat dakwah). Justeru, adalah penting bagi kita semua selaku para pendakwah untuk menilai semula adakah benar dan tepat sikap dan pendekatan yang kita gunakan selama ini. Penulisan ini tidaklah bertujuan untuk memberikan penyelesaian secara tuntas, melainkan sekadar bagi mencetuskan kesedaran dan mengajak untuk kita semua sama-sama bermuhasabah. Mudah-mudahan Allah S.W.T. mengurniakan hidayah dan taufiq-Nya kepada kita semua dalam menjalani kehidupan ini, dan semoga kita diberikan keampunan di atas segala kesalahan kita. Sesungguhnya, tiada daya menghindari maksiat dan kekuatan melakukan ketaatan melainkan dengan izin Allah Yang Maha Tinggi Lagi Maha Agung.


Allah jua Yang Maha Mengetahui.


Nota kaki:

Segala puji bagi Allah kerana dengan izin dan taufiq-Nya penulisan ini disiapkan. Mohon maaf di atas kesilapan, kekurangan dan kelemahan dalam penulisan ini yang mungkin agak berterabur. Mohon teguran membina.


Rujukan:

1. Tafsir Al-Azhar (Prof. Dr. HAMKA)

2. Akhlaq Para Pendakwah (Abdullah Nasih Ulwan)

3. Fiqhud-Da’wah (M. Natsir)

4. Fiqh Al-Sirah (Muhammad Said Ramadhan Al-Buti)

5. Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan (Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani, terjemahan oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki daripada kitab asal bertajuk ‘Mafahim Yajibu an Tusohhah’)

Sumber
http://akhienaim.blogspot.com/2008/10/islam-tersebar-atas-hikmah-dan-kasih.html

Sunday, October 12, 2008

SEDARLAH REMAJA ISLAM

Satu generasi yang sangat ditakuti oleh golongan kafir…iaitu generasi Rabbani di kalangan umat Islam. Apa generasi Rabbani ini? Generasi Rabbani ialah generasi yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya. Firman Allah dalam surah Ali Imran, surah 3 ayat 79:
Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah." Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.
Generasi inilah yang menyebabkan umat Islam hebat di suatu masa dahulu. Generasi para sahabat dan para tabiin dan tabi’ tabiin..yang kini sudah semakin hilang.
Mengapa generasi ini hilang? Ini semua adalah angkara kafir laknatullah..mereka telah menjauhkan umat Islam sekarang dengan menanamkan penyakit yang telah disabdakan oleh Rasulullah S.A.W. yang akan menjangkiti umat akhir zaman..iaitu cintakan dunia dan takutkan mati. Mereka telah menanamkan penyakit ini dgn menggunakan teknologi-teknologi terkini dan pelbagai alat hiburan. Tv, radio, internet dan media massa adalah antara alat-alat yang digunakan. Mereka memang ingin melenyapkan generasi ini sebagaimana firman Allah dalam surah ke-41 ayat ke-26:


Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar dengan sungguh-sungguh akan Al Qur'an ini dan buatlah hiruk-pikuk terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan (mereka).

Inilah yang menyebabkan umat Islam sekarang lemah. Kalau dulu Islam sangat disanjungi,dihormati dan digeruni..tetapi sekarang umat Islam disembelih sesuka hati. Dulu para sahabat cintakan akhirat, sanggup mati demi agama untuk syahid mendapatkan syurga. Inilah yang menyebabkan mereka hebat. Hanya takut kepada Allah, terbalik dengan Umat Islam sekarang.

Umat Islam sekarang,cinta dunia. Hidup mereka hanya untuk dunia. Takut untuk mati kerana takut kehilangan dunia yang kononnya indah di pandangam mata mereka. Kerana itu, mereka takut untuk menegakkan kebenaran,takut untuk mengamalkan sunnah, takut untuk mengamalkan Islam yang sebenar. Mereka takut, jika mereka melakukan semua ini, mereka akan kehilangan harta, pangkat, pekerjaan dan juga rezeki. Para ustaz dan ustazah takut untuk menegur kerajaan kerana takut dipecat, orang takut mengamalkan sunnah kerana takut digelar pengganas. Secara ringkasnya,mereka takut kepada manusia! Bukan Allah, pencipta manusia!

Sedarlah umat Islam..agama kita sekarang diperlekeh orang..mereka menghina nabi..membunuh rakyat Palestin, Iraq dan banyak lagi umat Islam di serata dunia. Mereka disiksa dan dibunuh dengan kejam. Tetapi kita di sini hidup dengan aman tanpa sebarang tekanan. Bebas mengamalkan agama Islam tercinta ini.

Tetapi benarkah Islam di Malaysia ini selamat? Jika rakyat palestin dan iraq menentang dan mati, insya-Allah mereka akan syahid dan masuk syurga. Tetapi bayangkan jika kiamat tiba-tiba berlaku,apakah umat Islam di Malaysia akan terselamat dan masuk syurga seperti mereka? Fikirkanlah…

Sekarang kalau kita keluar ke masyarakat..kita dapat lihat bermacam-macam gejala sosial dan maksiat yang berlaku. Yang lebih teruk, rata-ratanya berlaku di kalangan umat Islam kita ini sendiri. Maksiat dilakukan terang-terangan,tanpa segan silu, malah sebahagiannya berbangga dengan apa yang mereka lakukan. Langsung tidak berasa salah dengan apa yang dilakukan.

Sekarang maksiat berleluasa. Sana-sini terdapat lelaki perempuan yang berkepit-kepit, berjalan-jalan di kompleks membeli-belah laksana suami isteri bahkan lebih daripada itu. Yang berzina juga tidak kurangnya. Kelahiran anak luar nikah semakin banyak dan tidak terkawal. Pengalaman seorang rakan saya yang mendengar kawan di kelas tuisyennya berbual. Rakan saya ini telah mendengar mereka berbual mengenai kehebatan mereka yang telah berzina dengan ramai gadis-gadis sebaya mereka. Mereka ini sudahlah tidak berasa malu malah boleh berbangga dengan apa yang mereka lakukan itu! Pulak tu, kalau ada anak zina dilahirkan, mereka ada yang membuangnya dalam mangkuk tandas, tong sampah dan ada yang menggugurkannya. Apa hendak jadi dengan umat Islam sekarang? Ini adalah salah satu tanda-tanda kiamat sudah hampir. Tidakkah kita sedar?
Seorang senior menceritakan. Dia jual burger untuk dapat duit poket tambahan. Jual bilik ke bilik. Satu malam ni, dia ketuk-ketuk satu bilik ni, tak buka-buka. Dia pun pulasla tombol dan membuka pintu sndiri. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat dua orang siswa itu sedang melakukan perbuatan terkutuk kaum sadom di atas katil (homoseks). Senior ini kemudian kembali menutup pintu, dan kaku di situ. Teruk?

Ada banyak lagi cerita. Sampai tak larat saya hendak mnceritakan. Ada remaja yang ditangkap berzina dalam surau (pelajar sekolah agama). Ada perempuan 14 thn paksa boyfriendnya yang baru 12 thn buat hubungan seks dengannya. Dan banyak lagi..
Kawan saya, masa baru habis SPM buat part time, ajar tution budak-budak sekolah rendah. Dia nampa budak-budak ni handphonenya, N-Gage, sabun, daun dan yang lain-lain yang mahal tu. Dia pulak 3310 je. Bukan tu yang nak jadi ceritanya. Tapi sekali masa habis tution, budak kecik tu datang kat dia, smbil cakap, “Sir, awek Sir ade yang seksi macam ni tak?” sambil menunjukkan gambar-gambar lucah yang ada dalam HPnya. Kawan saya ni terkejut beruklah. Tergamam dia di situ. Ni budak-budak sekolah rendah!
Kalau yang kita lihat sekarang adalah remaja Islam, maka bayangkan 5-7 tahun lagi..mereka ini akan menginjak dewasa! Ya, kita akan dikelilingi oleh mereka yang pada zaman remajanya pernah berzina, minum arak dan macam-macam lagi perkara yang tak terbayang dek kepala otak kita. Mereka ini akan bernikah, dan berkeluarga serta bekerja. Boleh anda bayangkan kita dikelilingi oleh masyarakat2 yang seperti ini? Saidina Umar Al-Khattab berkata, kalau nak lihat kekuatan sesebuah negara, lihatlah keadaan remajanya sekarang. Bagaimana remaja kita?

Kebanyakkan Umat Islam rata-ratanya bukan tidak tahu tentang pahala dan dosa. Mereka tahu tetapi buat-buat tak tahu kerana ingin melakukan apa yang disukai oleh hawa nafsu mereka. Allah berfirman dalam surah Aj-jasiah,surah ke 45 ayat ke 23,

”Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan ilmu yang mereka ada. Dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutup atas penglihatannya. Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah membiarkannya sesat? Megapa Kamu tidak mengambil pengajaran?”

Lihat..ayat Allah jelas,mereka bukan tidak berilmu,tetapi sengaja menuruti hawa nafsu. Lalu Allah sendiri MENYESATKAN mereka! Nauzubillah!
Sedarlah saudara-saudara seIslamku..umat Islam kini semakin teruk, Sangat teruk. Mereka tidak lagi takut kepada dosa dan pahala. Inilah tugas kita sebagai seorang muslim untuk mengingatkan mereka. Ini adalah untuk melepaskan kita daripada tanggungjawab kita kepada Allah. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-A’raf,surah ke-7 ayat ke-164.:
Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Mereka menjawab: "Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa".
Allah juga memerintahkan kita untuk sentiasa memberi peringatan kepada orang yang beriman:
Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman. Italic
(surah Adz-Dzaariayat, surah ke-51 ayat ke 55).


Jadi,tugas kitalah untuk mengubah masyarakat, membina masyarakat, dan akhirnya menahirkan kembali generasi rabbani. Imam Hassan Al-Hudhaibi pernah berkata..”Tegakkanlah daulah Islam di dadamu, nescaya ia akan tertegak di negaramu”. Maksudnya, kalau kita nak kembalikan kegemilangan Islam, pertamanya, tegakkan Islam dalam diri kita dahulu. Kalau setiap orang telah tertegak Islam di dadanya, sudah terbinalah negara Islam. Bukan susah pun. Apa yang kita kena buat, sedarkan kawan-kawan, adik-adik, abang-abang dan kakak-kakak kita. Macam mana nak buat? Ceritalah apa yang kita faham mengenai keadaan masyarakat sekarang. Semoga dengan itu mereka tersedar dan ingin mengubah diri.

Maaf, sekarang anda semua mungkin membaca kisah keruntuhan akhlak dan moral orang lain. Mungkin kisah anak orang lain. Mungkin kisah kakak atau adik orang lain. Mungkin kisah saudara orang lain. Tetapi kalau hal ini dibiarkan berterusan, tidak mustahil suatu hari nanti anda akan mendengar kisah adik anda sendiri terlibat dengan hal-hal yang disebutkan tadi. Maaf, saya bukan mendoakan, tetapi ini adalah kenyataan.
Kalau anda yang sedang membaca ini tak mahu mengambil tahu, rasa tak perlu nk susah pikir pasal orang lain, terserah. Jika kita kedekut untuk mengorbankan masa, tenaga dan harta untuk menyedarkan masalah umat ni, kita yang rugi. Firman Allah :
Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada orang yang kikir, dan siapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah-lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang membutuhkan (Nya); dan jika kamu berpaling niscaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu (ini).
(Surah Muhammad, surah 47, ayat 38)


Allah akan menggantikan kita yang kedekut ini dengan satu generasi yang tidak akan kedekut macam kita. Mereka ini lebih menyintai Allah dan agamaNya lebih daripada kita dan Allah juga menyintai mereka. Firman Allah:
Hai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.
(Surah Al-Maidah, Surah 5, ayat 54)


Jadi sedarlah wahai umat Islam!! Sedarlah Remaja Islam!! Kalau bukan kita yang akan mengembalikan Islam, siapa lagi!!?? Mulakan dengan diri kita! Ya, diri kita! Mulakan sekarang juga!! Ya, Sekarang! Kalau bukan sekarang, bila lagi!? Para sahabat dahulu telah membuktikan mereka mampu menegakkan Islam. Mereka juga remaja. Mengapa tidak kita?
SEDARLAH...

(p/s : Semua kisah dan contoh yang saya bawakan di atas adalah benar-benar belaka)




(Written by Ahmad Umair b. Zulkefli)


Wednesday, October 8, 2008

CHAY YUK!! PMR & SPM CANDIDATES, BIAR MUMTAZ

PRAY HARD STUDY SMART


KAKAK-KAKAK PERKEPIS INGIN MENGUCAPKAN
SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN PMR & SPM
KEPADA ADIK-ADIK TINGKATAN 3 DAN 5
DI SELURUH MALAYSIA
KHUSUSNYA ADIK-ADIK YANG BERADA DI SARAWAK

"Dan barang siapa mengkehendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan bersugguh-sunguh, sedangkan dia beriman maka mereka itulah orang yang usahanya akan dibalas dengan baik"
Al-Isra:19