Thursday, August 12, 2010

Ahlan Ya Ramadhan!

Artikel oleh Khairul Anwar Shazali : YDP Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak


"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa" (al-Baqarah : 183).

Segala puji dan syukur hanya bagi Allah s.w.t. serta selawat dan salam ke atas Sayyidina Muhammad Rasulullah s.a.w. Telah sampai kita kepada satu bulan yang dihamparkan keberkatan di dalamnya. Sebagai peluang bagi kita yang masih bernyawa untuk memanfaatkan bulan tersebut sebaik-baiknya. Kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah s.w.t. di atas kesempatan yang direzekikan kepada kita untuk pertemuan buat sekian kalinya dengan bulan Ramadhan al-Mubarak.

Bulan yang dimuliakan di antara bulan-bulan lain. Telah bersabda baginda Rasululullah s.a.w. "Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadhan, lima perkara yang tidak dikurniakan kepada seorang nabi pun sebelumku. Pertama, apabila awal malam bulan Ramadhan, Allah memandang kepada mereka. Sesiapa yang Allah memandang kepadanya, maka dia tidak akan diazab selama-tamanya. Kedua, bau mulut orang yang berpuasa, ketika petang lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Ketiga, para malaikat mengucapkan istighfar bagi mereka pada setiap siang dan malam Ramadhan. Keempat, Allah memerintahkan syurgaNya dengan firmanNya, "Bersiap sedia dan berhiaslah untuk hamba-hambaKu. Hampir-hampirlah mereka akan berehat daripada kepenatan dunia dan berpindah ke negeri dan kemuliaanKu. Kelima, apabila akhir malam Ramadhan, diampunkan bagi mereka semua." (H.R. al-Baihaqi)

Tambah pula dengan segala macam rahsia yang disembunyikan oleh Allah s.w.t. di dalam Ramadhan ini untuk kita cari. Khususnya malam Lailatul Qadr yang dihadiahkan oleh Allah s.w.t. kepada kita yang mana kemuliaannya lebih baik daripada seribu bulan seperti mana yang difirmankan oleh Allah s.w.t. "Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan" (al-Qadr:3). Maka kebodohan apakah yang melanda kita tatkala dihadiahkan kepada kita oleh Pencipta, dan kita menolaknya.

Inilah bulan di mana kita dijanjikan dengan segala macam kebaikan sebagai tebusan akan dosa noda yang telah kita lakukan. Telah bersabda baginda Rasulullah s.a.w.; "… bulan ini, awalnya ialah rahmat, pertengahannya ialah keampunan dan penghujungnya ialah pembebasan daripada azab neraka…" (H.R. Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi dan Abu al-Syeikh Ibnu Hayyan). Inilah peluang yang dihamparkan seluas-luasnya kepada kita untuk menyucikan diri daripada segala noda dan dosa yang telah mengotori hati dan jasad kita. Kita dijanjikan dengan keampunan akan dosa-dosa kita yang lalu dengan kita berpuasa dalam Ramadhan dengan keikhlasan dan keimanan, "Sesiapa yang mendirikannya (Ramadhan) dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan baginya dosa yang telah lalu" (H.R. Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasa'ie, Malik, Ahmad dan Baihaqi).

Mengimarahkan Ramadhan dengan sebaik mungkin dengan segala macam amalan sunat yang mengiringi amalan yang telah difardhukan ke atas kita. Sesungguhnya baginda Rasulullah s.a.w. telah bersabda; "…Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan tersebut dengan satu jenis kebaikan, maka dia seolah-olah menunaikan satu kefardhuan pada bulan yang lain. Sesiapa yang menunaikan satu kefardhuan pada bulan terse but, maka dia seolah-olah menunaikan 70 kefardhuan pada bulan yang lain…" Maka hanya kejahilan sahaja yang menjadikan kita tergolong dalam golongan yang mempersiakan Ramadhan. Maka telah dianjurkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. kepada kita umatnya untuk diamalkan dengan sebanyak-banyak dalam Ramadhan; "Hendaklah kalian memperbanyakkan pada bulan ini empat perkara: Dua perkara yang menyebabkan Tuhan kalian meredhai kalian dan dua perkara yang kalian amat perlukan. Dua perkara yang menyebabkan Tuhan kalian meredhai kalian ialah penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sentiasa memohon keampunanNya. Manakala dua perkara yang kalian perlukan ialah kalian memohon syurga kepada Allah dan berlindung denganNya dari neraka…" (H.R. Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi dan Abu al-Syeikh Ibnu Hayyan).

Justeru, dalam kesempatan ini, saya serta mewakili Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) mengucapkan Selamat Menyambut & Mengimarah Ramadhan al-Mubarak! Semoga Ramadhan pada kali ini memberi makna dalam kehidupan kita. Hidupkanlah diri dengan amal sebanyak-banyaknya di bulan yang dimuliakan ini dan hidupkanlah sekeliling kita dengan bi'ah sesuai dengan kemuliaan Ramadhan. Bersamalah kita memuliakan Ramadhan dengan memberikan penghormatan yang selayaknya buat bulan keberkatan ini. Saya menyeru diri yang faqir ini serta seluruh umat Islam khususnya para pelajar, mahasiswa dan belia Islam Sarawak untuk menjadikan Ramadhan kali ini sebagai wadah muhasabah untuk kita semua dalam mendepani kehidupan hari muka.

Friday, June 18, 2010

ZIARAH PERMATA




Biodata Habib Muhammad Bin Soleh Al-Attas:

Beliau merupakan salah seorang di kalangan ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah bermazhab Syafie dari Hadramout yang sering kali mengunjungi Malaysia di dalam usaha dakwahnya. Di antara guru-guru beliau ialah yang tidak asing lagi Habib Umar bin Mohd bin Salim Bin Hafidz, mudir pusat pengajian Dar AlMustofa, Tareem, Hadramout Yaman, Habib Muhammad bin Abdullah AlHaddar dan Habib Ali bin Muhammad Al-Attas (mufti Huraidah, Hadramout Yaman). Sebagai seorang mudir Rubath Al Fath, di Huraidhah, Hadhramaut, Yaman, beliau mempunyai lebih kurang 40 orang pelajar yang terdiri dari pelbagai negara termasuk Indonesia dan Malaysia

LANJUTAN DI RINDOK ATI

Sunday, June 13, 2010

Saturday, June 12, 2010

LAPORAN JANATAQWA HEWI SIRI 2

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…

Allahu Allah…syukur ke hadrat Ilahi, kerana dengan izin-Nya, diriku dan sahabat-sahabat seramai lebih kurang 17 orang memenuhi ruang rumah tempatku berteduh sepanjang tempoh praktikalku ini bagi merealisasikan hasrat untuk bertemu dalam program Janataqwa HEWI
anjuran HEWI (Hal-ehwal Siswi) PERKEPIS. Program yang bermula dengan menyambut kehadiran sahabat-sahabat dari segenap kawasan di Kuching me’rindok’kan hati lagi keadaan. Mereka hadir lebih kurang pada pukul 6.45 petang membolehkan yang hadir awal menyempurnakan solat Maghrib secara berjemaah bersama-sama. Aduhai, ‘rindok’nya ati…=D

Usai solat maghrib, kami makan malam bersama-sama dan meneruskan sesi suai kenal dengan secara mendalam. Allahu Allah…indahnya pertemuan…=) Rasa ‘rindok ati’ masih melekat dan mekar hingga ke saat ini. Semalam dan hari ini seperti mengumpul dan menyegarkan kembali memori indahnya tautan ukhuwwah yang sudah lama tidak bertemu, pertemuan dengan sahabat-sahabat yang baru dikenali dan sahabat-sahabat yang bertemu tanpa disangka-sangka.=)

Sesi yang pertama merupakan sesi suai kenal yang di pimpin oleh Saudari Hamizah.

Sesi pada malam semalam sangat bermakna kerana pada masa itu, diriku juga tidak menyangka pelbagai perkara yang dibincangkan secara selit-selitan. Sambil bersuai kenal, sambil itu juga perkongsian pandangan dan idea antara kakak-kakak dan adik-adik. Tidak kurang juga perkongsian pengalaman yang jarang untuk kita kongsikan walaupun kita sering bersama. Sesi ditangguhkan untuk memberi ruang sahabat-sahabat yang hadir berehat dan bersedia untuk bangun awal pada keesokan harinya. (kemaafan daripada tuan rumah andai keadaan tempat tidur kurang selesa.huhu)

Peluang untuk solat berjemaah bersama-sama dan bangun malam bersama-sama dimanfaatkan. Selepas solat subuh dan bacaan al-Mathurat, perkongsian yang berharga daripada Saudari Mariati yang turut serta dalam Janataqwa kali ini dengan mengambil peluang keberadaannya di bumi Kuching ini. Perkongsian yang bertajuk ‘solat’. Perkongsian bersifat dua hala dan banyak persoalan-persoalan yang timbul yang seharusnya dibawa semula dengan jawapan-jawapan dan pandangan-pandangan daripada orang yang lebih tahu di Janataqwa yang akan datang. (Ameen…=D)

Selepas sesi perkongsian, kami minum pagi dan janataqwa kali ini menampilkan sesuatu yang menarik. Saudari Hamizah telah berkongsi ilmu jahitan yang memanfaatkan perca kain (lebihan kain) untuk dijadikan bentuk dan boleh disambung untuk menjadi lapik meja ataupun sarung kotak tisu. Menarik! =) Bertambah satu lagi ilmu kraftangan yang kami peroleh…alhamdulillah…=D

Subhanallah…moga hati-hati ini sentiasa ditautkan dan sentiasa berada tetap untuk berjuang dengan kemampuan dan cara masing-masing di jalan-Nya. Moga bertemu lagi di Janataqwa HEWI di masa akan datang…=D

“Jadilah perindu dan pengejar redha Ilahi”

PETIKAN:: AZWANI JAINI

Monday, May 31, 2010

KURSUS ASAS FASILITATOR IDEAL 2010


Alhamdulillah, syukur kepada Allah, Kursus Asas Fasi Ideal (KAFI) 2010 telah diadakan pada 21 sehingga 23 Mei 2010 yang lepas dengan jayanya. Bertempat di Sekretariat PERKEPIS yang terletak bersebelahan dengan Masjid Taqwa di Gita, Kuching seramai 30 orang telah menjadi peserta.

KAFI telah menyediakan pengetahuan asas teori dan praktikal menjadi fasillitor, ataupun dikenali juga sebagai pemudahcara. Antara objektif KAFI adalah untuk menyediakan fasilitator yang akan menjadi sukarelawan dalam program-program anjuran PERKEPIS mahupun anjuran pertubuhan ataupun agensi lain.
Lanjutan: Sila klik PERKEPIS

Thursday, May 13, 2010

PESTA LAYANG-LAYANG


Ju, jemput datang rami-rami ke Pesta Layang-layang PJE PERKEPIS! :)

Tarikh: 16 Mei 2010

Tentatif:
0800 Berkumpul di SUKMA RIA
0900 Bertolak ke Pasir Panjang, Kuching
0930 Ta'aruf & Pembahagian Kumpulan
1030 Mula Membuat Layang-layang
1240 Solat Zuhur
Makan tengahari
Rehat
1330 Membuat Layang-layang (samb.)
1600 Solat Asar
1630 Ju Main Layang-layang!
1730 Bersurai

Jumpa di sinun! :)

NOTA: Bayaran RM6 adalah untuk makan tengahari & kelengkapan membuat wo/(layang-layang).

"Berjasa Kepada Masyarakat"
http://perkepis.blogspot.com