Friday, February 19, 2010
AKU PENGKAGUM WANITA ITU!
Aku pengkagum wanita-wanita itu, manusia biasa dengan semangat luar biasa…
Punya jati diri dan tinggi keyakinan diri, pasrah berserah terhadap ketentuan-Nya
Kisah Siti Hajar meruntun sukma…
Bersama bayi kecilnya dia ditinggalkan di lembah gersang membakar…
Suami tercinta, Ibrahim berlalu dengan linangan air mata…
Rahsia dari arahan Tuhan tidak pernah dipersoalkan, hanya patuh atas setiap perintah-Nya.
Tanpa makanan, tanpa minuman, tiada pepohonan, tiada insan buat peneman..
Hanya bayinya Ismail yang mulai menangis…ratap sayunya kerana lapar dan kehausan..
Pedih hati seorang ibu, kasihnya membara menguatkan jiwa…
Ke sini dan ke sana, antara dua bukit Hajar berlarian bagai tak kenal erti lelah…
Harapan menjejak air buat merawat dahaga putera tercinta
Dari jauh bagaikan ada, namun mendekat nyata ia fatamorgana..
Putus asa tidak pernah singgah di hatinya, mencari dan terus mencari….
Berlari dan terus berlari, hingga berulang alik sampai tujuh kali…
Ingatan pada kata-katanya sendiri tersemat kukuh saat si suami berlalu pergi,
“Jika ini perintah Ilahi, pasti DIA tidak akan mensia-siakan kami!”
Aku pengkagum wanita-wanita itu, manusia biasa dengan semangat luar biasa…
Punya jati diri dan tinggi keyakinan diri, pasrah berserah dengan ketentuan-Nya
Bersuamikan Fira’un Maharaja perkasa, gelaran ratu menghiasi singgahsana…
Permaisuri Asiah jelitawan mulia, kedudukan bukan untuk bermegah..
Hanya sahaja melayan resah, suami di sisi berbeza aqidah…
Angkuh sombong zalim pemerintahan, takbur mendakwa dirinya Tuhan..
Dilepas hidup dakwanya mampu menghidupkan…
Dihukum bunuh, sangkanya mampu mematikan.
Terhibur hatinya tatkala mendapat tahu,
Masyitah si tukang sisir menyembah Yang Esa..
Berkongsi rasa, berbagi cerita, saling mendorong teguh beragama..
Suatu ketika Masyitah menyisir rambut puteri Maharaja..
Terlancar di bibirnya saat mengambil sisir yang jatuh….
“Dengan nama Allah binasalah Fir’aun”.
Si puteri tersinggung mendengar ayahanda dihina..
Mengadu cerita, membangkit amarah ayahandanya..
“Siapakah Tuhan yang kau sembah?”
Teguh pendirian, tidak berganjak, kata-kata Masyitah mencetus lahar..
“Tiada Tuhan selain Allah , Penguasa sekelian alam dan segala isinya”
Masyitah diberi dua pilihan, mengaku kufur atau tetap beriman..
Bersaksikan rakyat jelata dan Fir’aun durjana…
Di hadapannya kuali besar tersedia, menunggu hukuman penamat usia…
Menatap bayi di dalam pelukan, cinta ibu menghadirkan belas kasihan..
Takdir Allah, si anak kecil lunak bersuara, memujuk Masyitah memilih keimanan
“Wahai ibuku, Jangan kau ragu, pintu Syurga terbuka menanti kita”.
Tanpa jeritan, tanpa keluhan,
Masyitah dan anaknya terjun ke dalam kuali besar..
Wangi semerbak mengiringi pemergian..
Roh mulia bertemu Allah Yang Maha Esa..
Menyaksikan suami menzalimi wanita dan bayi yang lemah..
Membakar jiwa Asiah, mewarwar kebenaran aqidah..
Fir’aun menganggap permaisurinya gila…
Menyiksa Asiah tanpa belas dan rasa duka..
Sebelum nafas berakhir di dunia, ke hadrat Yang Kuasa Asiah berdoa
“Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu di dalam syurga,
Selamatkanlah aku dari Fir’aun dan perbuatannya,
Serta selamatkanlah aku dari kaum yang zalim”.
Aku pengkagum wanita-wanita itu, manusia biasa dengan semangat luar biasa…
Punya jati diri dan tinggi keyakinan diri, pasrah berserah dengan ketentuan-Nya
Tuesday, January 26, 2010
Si Tanggang moden dari Sarawak?

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
Tumi Wongsoruju ketika berada di Balai Polis Seri Kembangan, Serdang, Selangor, semalam.
SUBANG JAYA 21 Jan. - Sudah tiga tahun, Tumi Wongsoruju tidak bertemu anak perempuan tunggalnya yang membawa diri tanpa sebarang berita ke Semenanjung.
Jarak yang jauh ditambah pula dengan kesempitan hidup, membuatkan wanita berusia 52 tahun yang tinggal di Kuching, Sarawak itu tidak berupaya mencari anak kesayangannya.
Namun kerinduan yang tidak tertanggung lagi, akhirnya mendorong Tumi berhutang dengan saudara-mara bagi membeli tiket penerbangan ke Kuala Lumpur untuk menjejaki anaknya.
Berbekalkan duit poket RM150 dan alamat sebuah kawasan perumahan di Serdang dekat sini, dia menyusuli anak perempuannya itu.
Membuang rasa malu dan takut, Tumi yang berasal dari Taman Duranda Emas di Jalan Kuching-Serian memberanikan diri menagih simpati orang ramai untuk membantu mencari rumah anaknya yang berusia 33 tahun.
Setelah puas bertanya, dia yang tiba di Semenanjung kelmarin berjaya menemui anak kesayangannya itu hasil bantuan orang ramai dan anggota dari Balai Polis Seri Kembangan, malam tadi.
Namun, perasaan teruja dan gembira bertemu anak yang cukup dirindui bertukar menjadi kenangan pahit yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayatnya.
Tumi bukan sahaja dihalau bahkan tidak diakui sebagai ibu oleh anak perempuan dan menantunya.
Biarpun bersungguh-sungguh meyakinkan mereka dengan menunjukkan sijil kelahiran anaknya, wanita itu dan suaminya tetap berkeras enggan mengaku Tumi sebagai ibu.
Terkilan dengan sikap anaknya itu, Tumi yang tidak mempunyai saudara-mara di sini akhirnya berputus asa dan bersetuju mengikut anggota polis ke Balai Polis Seri Kembangan.
Simpati dengan nasib Tumi, wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo! bersama jurugambar sepakat berkongsi mengeluarkan wang untuk membeli tiket penerbangan dan duit belanja bagi membolehkan dia pulang ke kampung halamannya hari ini.
Dengan kerjasama anggota dari Balai Polis Seri Kembangan, Tumi berjaya mendapat tiket penerbangan pulang ke Kuching menaiki pesawat AirAsia pukul 7.40 malam ini.
Sementara itu, Tumi ketika ditemui dengan berlinangan air mata memberitahu, selain mengubati kerinduan, tujuan dia datang ke Semenanjung adalah untuk memujuk anaknya itu supaya pulang bersamanya ke Kuching.
Katanya, ini bagi menyelesaikan urusan tuntutan hak penjagaan cucu lelakinya hasil perkahwinan anak perempuannya itu dengan suami pertama.
"Sebelum berkahwin dengan suami sekarang, anak saya pernah mendirikan rumahtangga dengan seorang lelaki berketurunan Bidayuh.
"Mereka mempunyai seorang anak yang kini berusia 13 tahun. Kanak-kanak itu dijaga oleh saya selama 11 tahun sebelum diambil oleh bekas menantu yang mendakwa sudah memeluk Islam selepas mereka bercerai," katanya.
Tumi berkata, dia nekad menuntut hak penjagaan cucu kesayangannya itu kerana bimbang akidah kanak-kanak itu terpesong memandangkan cucunya kini tinggal bersama keluarga bekas menantunya yang beragama Kristian di Kampung Tijirak, Kuching.
Katanya, anak perempuannya itu merupakan anak tunggalnya hasil perkahwinan dengan suami pertama. Perkahwinannya dengan arwah suami kedua yang merupakan bekas tentera berasal dari Lenggong, Perak, tidak dikurniakan cahaya mata.
Tumi yang tinggal seorang diri dan menghidap sakit buah pinggang memberitahu, mereka tidak pernah berselisih faham namun dia terkejut apabila anaknya menghilangkan diri bersama suami barunya ke Semenanjung tiga tahun lalu dan langsung tidak menghubunginya sehingga kini.
"Biarpun sedih mengenangkan anak kesayangan yang dikandung selama sembilan bulan enggan mengaku saya sebagai ibu tetapi saya tetap memaafkannya dan berharap dia kembali ke pangkuan saya satu hari nanti.
"Malah, saya ada membawa sepasang baju kurung baru dan sehelai selendang untuk dihadiahkan kepadanya," katanya yang tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan dengan kejadian itu.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm
Petikan : Amirah Al-Bayan
Tuesday, January 5, 2010
KENAPA ISU KALIMAH "ALLAH" BUKAN ISU KECIL?

Syukur ke hadrat ILAHI, malam tadi (5 Januari 2010, 8.30malam), saya diberi izin hadir ke Forum “KALIMAH ALLAH: HAK MUSLIM @ HAK SEMUA?” yang berlangsung di ADM LT 4, UIAM Gombak. Sudah lama rasanya saya tidak diperdengarkan dengan majlis ilmu yang isi dan intipatinya agak tidak mengecewakan. Hadir kerana saya sedar agama saya diancam bahaya. Seandainya saya BUKAN JURUDAKWAH sekalipun, saya tetap ingin hadir. Mungkin pada yang masih kurang jelas, tanggal 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan penggunaan kalimah “ALLAH” dalam majalah Herald.
Malam itu ada 2 panelis yang tampil mengupas sedalam2nya mengenai isu ini. Yang pertama ialah Timbalan Dekan Kulliyyah Ilmu Wahyu UIAM dan juga Mantan Timbalan Presiden ABIM, Dr. Mohd Farid Mohd Shahran dan yang kedua Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan juga graduan Undang-undang UIAM, saudara Mohd Faisal Abdul Aziz.
Pusingan pertama forum telah dimulakan oleh Dr. Farid yang dilontarkan dengan persoalan isu ini dari sudut pandangan Islam dan perbandingan agama. Dr. Farid membuka bicara beliau dengan kesyukuran ke hadrat ALLAH Ta’ala. “Bukan ALLAH dalam majalah Herald tu.” Tergelak audien mendengar sindiran itu. Dr. Farid menegaskan bahawa, isu ini bukanlah isu mudah, bukan sekadar ‘simple word’, sebaliknya ia harus dilihat dari pelbagai sudut. Isu ini juga bukan isu yang kita boleh berikan hitam dan putih secara terus. Beliau melihat di peringkat Mahkamah Tinggi itu sendiri, kedua2 pihak mempunyai hujah tersendiri, namun kita perlu kepada hujah yang lebih tegar dalam memelihara pendirian masing2.
Dr. Farid menasihatkan agar isu kalimah “ALLAH” ini janganlah dilihat dalam konteks aqidah yang mudah, tetapi harus dibuka dan dilihat lebih luas lagi. Isu ini timbul apabila pihak majalah Herald itu ingin menterjemahkan perkataan “LORD” atau “GOD” ke dalam Bahasa Melayu dan mereka telah memilih “ALLAH” sebagai ganti “LORD” atau “GOD”. Persoalannya, kenapa perkataan “ALLAH” yang dipilih sedangkan ada lagi perkataan2 lain yang boleh digunakan seperti Tuhan, Ruh Qudus dan lain-lain. Kenapa mesti “ALLAH”?
Dr. Farid membawa kami menilai melalui 2 keadaan. Keadaan yang pertama kesalahan menterjemah. “LORD” ialah Kata Nama Am dalam Bahasa Inggeris. Maka, jika diterjemah ke Bahasa Melayu harus juga daripada Kata Nama Am iaitu “TUHAN”. Tetapi, dalam kes ini, mereka terus menggantikan “LORD” itu kepada Kata Nama Khas iaitu “ALLAH” yang mana merupakan satu kesalahan dalam sistem penterjemahan.
Keadaan yang kedua ialah dari sudut semantik. Semantik ini bermakna setiap istilah, lafaz dan perkataan mesti mempunyai ‘correspond meaning’ atau makna yang tersendiri. Al-Quran paling banyak mentakrifkan maksud “ALLAH”. Contohnya dalam Surah Al-Ikhlas. Ayat pertama memberi makna ALLAH itu Esa. Ayat kedua memberi makna ALLAH itu tempat bergantung. Ayat yang ketiga memberi makna ALLAH itu tidak beranak dan diperanakkan. Apa yang jelas, makna “ALLAH” tiada satu persamaan pun (mithal). Dr. Farid menambah lagi, sungguh jelas maknanya dalam Al-Quran dan ayat2nya juga ada yang “muhkamad” iaitu tidak boleh dipertikaikan lagi. Jadi, seandainya kita menggunakan hakikat lain pada istilah “ALLAH” maka kita telah biadab pada ALLAH. Dengan bahasa pun kita kena beradab.
Dr. Farid menegaskan bahawa beliau tidak begitu bersetuju dengan bunyi tajuk forum pada malam itu kerana bunyinya seolah2 kita hendak merebut dan memonopoli istilah. Padahal, kita berbahas kerana kita memahami isu ini dalam sudut pandangan alam Islam.
Beliau menjelaskan dalam Bahasa Melayu banyak dipengaruhi dengan pandangan alam Islam (Bahasa Arab) kerana kita tahu makna perkataan2 ini lebih tepat. Dr. Farid melahirkan rasa bimbang dengan situasi dalam masyarakat sekarang ini kerana ramai yang terkeliru. Bukan sahaja di kalangan umat Islam, yang bukan Islam pun turut terkeliru juga. Beliau sebenarnya tidak kisah apa yang bakal diputuskan mahkamah, tetapi yang beliau bimbangkan pemikiran di kalangan orang2 Islam terhadap isu ini tanpa melihat isu ini dalam konteks yang lebih mendalam.
Sesetengah pihak mengatakan, kita menang kes ini sebenarnya. Berdiri atas hujah istilah itu datang sebelum ISLAM lagi. Ini memang betul, tetapi apabila Islam tersebar serata alam, maka Islam telah mengubah (mengislamisasikan) istilah2 ini kepada makna yang lebih dekat dengan tauhid termasuklah istilah ALLAH.
Contoh yang beliau berikan ialah perkataan "KAREEM" yang bermaksud mulia. "KAREEM" sebelum kedatangan Islam diberikan kepada seseorang yang mempunyai ramai anak lelaki. Namun, setelah kedatangan Islam, nilai makna itu disandarkan pada ALLAH YANG MAHA MULIA. Dan, kita haruslah mengikut makna2 istilah itu selepas kedatangan Islam kerana ada ulama' bahasa yang telah mengkaji dan menghasilkan buku yang tebal2 yang mengandungi huraian istilah2 itu. Maka ia bukanlah perkara yang harus kita pandang ringan.
Inilah agenda sesetengah pihak yang berpegang pada konsep kesatuan agama. Bak kata ahli agam Rom: "ALL ROADS LEADS TO ROME" yang jelas menpromosikan konsep persamaa agama. Menyentuh soal TOLERANSI pula, beliau merasakan orang2 MELAYU ISLAM sudah cukup tolerant dengan orang2 bukan ISLAM. Sesungguhnya memang benar Nabi Muhammad S.A.W pun menyuruh kita untuk tolerant, TETAPI pendirian dalam agama TIDAK BOLEH ditoleransikan sewenang2nya. Bahkan, dalam Surah Al-Kafirun, kita telah mengisbatkan hak masing2 dan bukannya 'INTOLERANT'. Adakah salah untuk kita kata: "WE ARE DIFFERENT, BUT WE RESPECT EACH OTHER". Dan tidak perlulah asyik2 ingin bercakap soal persamaan.
Dr. Farid menegaskan kita perlu teliti dalam memberi pandangan dan meletakkan posisi kita dalam isu ini. Jangan sesekali memudahkan agama. Adalah berbeza antara AGAMA ITU MUDAH dengan MEMUDAH2KAN agama. Dari segi mengikut mazhab pula, beliau mengatakan kita mengikut mazhab bukanlah kita taklid buta, tetapi kita letakkan kepercayaan kepada kewibawaan ilmu ulama'2 Islam yang muktabar.
Pusingan kedua forum diserahkan kepada saudara Faisal dan beliau banyak menyentuh isu ini dari kaca mata undang2 walaupun tidak secara keseluruhannya. Saudara Faisal menjelaskan bahawa salah satu cara gerakan Kristianisasi menyebarkan dakyah mereka ialah dengan memperibumikan Kristian dalam masyarakat setempat. Perkembangan Kristianisasi di Eropah membuktikan bagaimana fahaman Kristianisasi telah disalahertikan iaitu berasal daripada tamadun Yunani, Rom dan lain2. Begitu juga di Alam Melayu, mereka menggunakan kalimah "ALLAH" untuk menserasikan Kristianisasi dalam masyarakat kita. Tujuannya mudah iaitu untuk mengelirukan orang Melayu.
Tegas saudara Faisal lagi, ini bukan isu majalah semata2, tetapi isu sistem sosial yang akan berlaku dalam jangka panjang. Ramai orang2 muda tidak melihat implikasi besar isu ini dalam jangka panjang. Ramai yang memandang ringan kerana ia hanya satu kalimah. Beliau melontarkan persoalan:" MENGAPA KITA BERSYAHADAH 'TIADA TUHAN SELAIN ALLAH'? KENAPA TIDAK 'TIADA ALLAH SELAIN ALLAH'?". Ancaman yang bakal diterima juga dilontarkan oleh saudara Faisal. Beliau berkata, andai kalimah ini diizinkan untuk digunapakai oleh semua pihak sekarang, kita tidak akan mampu mempersoalkan penggunaannya dalam agama lain untuk masa akan datang.
"BAITULLAH" mungkin digunakan untuk gereja. Begitu juga dengan "RUMAH ALLAH". Bible pula mungkin mereka sebut "KITAB ALLAH". Inilah kesan jangka panjang yang lebih memudaratkan masyarakat Islam kita. Kita akan marah jika perkataan "ALLAH "itu diletakkan di bahagian pusat patung besar di Kuil Batu Caves itu. Namun ketika itu kita tidak akan mampu untuk berbuat apa2 kerana kita sudah benarkan pengunaab kalimah "ALLAH" ini untuk agama lain juga.Inilah sebabnya kenapa isu kalimah "ALLAH" ini bukan isu yang kecil, isu majalah semata2, TETAPI ADA AGENDA YANG CUKUP BESAR. Beliau menjelaskan lagi, pada tahun 1986, kabinet Malaysia telah memutuskan ada 4 perkataan yang tidak boleh digunakan oleh agama lain iaitu ALLAH, SOLAT, KAABAH dan BAITULLAH.
Kesimpulan dari forum di atas, saya merasakan sedikit terisi dengan fakta2 dan penjelasan2 kedua-dua panel. Sesungguhnya kita harus memahami isu ini bukan setakat untuk jangka pendek, tetapi kesannya untuk jangka panjang kelak.
**Kesalahan fakta mohon diperbetulkan**
Dipetik dari: -RiNdOk AtI-
Sunday, November 15, 2009
DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER

Ungkapan ini kerap saya dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.
"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi" Katanya memberi buah fikirannya.
"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok" tambah wanita ini lagi.
Benarkah hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujjah dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sohih iaitu :
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim)
Simpati bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujjah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.
"Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu"
Lalu jawab si pekerja : " Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang"
Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ?. Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintahNya ?
Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :
"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.
Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person'.
Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :
إنما أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض , فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع له قطعة من النار
Ertinya : Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka" (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )
Hadith ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.
Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendaat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW
من سن في الإسلام سنة سيئة فعليه وزرها ووزر من عمل بها من غير أن ينقص شيئاً
Ertinya : Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.." ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )
Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik ? setelah gunungan dosa mengaratkan hatinya ?.
Sesungguhnya Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya. ?
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
Kuala Lumpur
Friday, September 4, 2009
YA RAMADHAN...Hati Ini Penuh Cinta

Kau datang bertamu lagi,
Menyinggah dan merubah diri insani,
Merindui menagih kasih Ilahi…
Ya Ramadhan,
Hadirmu di saat perlu,
Ketika hati disuntik pilu,
Ketika leka berbicara si nafsu,
Kau ubati dukaku…
Ya Ramadhan,
Kegilaan ini perlu dihentikan,
Kesakitan ini perlu dilupakan,
Menyulam semangat dengan kalam Tuhan,
Bangkitlah dari kekecewaan,
Kerana DIA tidak akan sia-siakan,
Doa yang penuh takut dan harapan…
Ya Ramadhan,
Hati ini penuh cinta,
Untukku labuhkan pada tempat asalnya,
Menantimu mendebar rasa,
Kini pintumu kaubuka,
Syukur ku ukir di tubir rahsia,
Moga amalan diterima,
Moga laluan lebih sempurna…
DIPETIK DARI LAMAN "RINDOK ATI ; http://raufasufrina87.blogspot.com"
Saturday, April 11, 2009
Senyumlah Dalam Keletihanmu...
"Kak, saya rasa letih sangat," adu seorang adik yang keletihan selepas berprogram, ditambah pula tugasan kuliah yang membebankan. Seluruh tubuhnya keletihan dan mula mengalami gejala seperti sakit dada dan rasa lemah hingga hampir-hampir tidak mampu meneruskan tugasannya pada hari tersebut.
"Akak rasa awak stress lah," kata saya membuat 'diagnosis' selepas mendengar simptom-simptom yang diceritakannya.
"Give your body a break. All work and no play makes Jack a dull boy," saya memetik kata pepatah Inggeris.
“Rehatlah, bercuti untuk dirimu sendiri. Antara sebab-sebab futur ialah keletihan yang melampau,” saya menyambung lagi.
“Ya lah, saya rasa hidup saya ni untuk program, kerja dan thesis saja kak…” luahnya lagi, mungkin baru menyedari betapa letihnya hidupnya.
“Selain rehat, cuba ambil supplement kesihatan untuk menambahkan tenaga,” sambung saya lagi. Teringat pengalaman saya yang selalu letih di zaman belajar, dapat saya atasi dengan pengambilan supplement.

“Dan janganlah lupa berdoa. Pagi tadi akak dengar ceramah ustaz kat dalam TV, katanya Rasulullah pernah mengajarkan satu ayat kepada Muadz Bin Jabal bagaimana untuk mengatasi masalah lemah dan berhutang. Ayat ini dengan izin Allah, jika diamalkan, sekiranya kita berhutang sebanyak manapun nescaya Allah mudahkan bagi kita untuk menyelesaikannya,” kata saya.
Ayat tersebut ialah ayat ke 26 Surah Ali Imran yang bermaksud: “Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Kepada temanku yang sedih, kecewa, tertekan, ketahuilah jalan perjuangan pastinya penuh kepenatan, kesusahan dan tekanan yang tak terjangkakan. Aku juga tak terkecuali melalui saat keletihan itu hingga kini. Namun, yakinlah kasih-Nya tetap menemani dalam keletihanmu, bantuan-Nya tetap menyusuli selepas kesusahanmu, dan kemanisan pasti akan dirasai selepas rasa tertekanmu. Bukankah Allah telah berjanji bahawa selepas kesusahan akan ada kesenangan.
“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Al-Insyirah: Ayat 5-6)
“Ya Allah, aku bermohon perlindungan-Mu dari rasa sedih dan dukacita, aku bermohon perlindungan-Mu dari sifat lemah dan malas, aku bermohon perlindungan-Mu dari sifat pengecut dan bakhil, dan aku bermohon perlindungan-Mu dari beban hutang dan penindasan manusia. Amin..”
Senyumlah dalam keletihanmu. Semoga langkah kita sentiasa kuat menyusuri jalan yang meletihkan ini. Untuk motivasi, renungilah kata-kata hikmah dari Saidina Umar Al-Khattab:
“Jika kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan, ketahuilah bahawa keletihan itu akan hilang sedang kebaikan itu akan berkekalan.”
Friday, April 4, 2008
Ketawa???
Sabda Baginda lagi : "Banyak ketawa itu mematikan hati dan melalaikan daripada mengingati akhirat dan mempusakai marah dalam hati". "Tertawa di dalam masjid itu menenggelamkan di dalam kubur dan mematikan hati dan melalaikan daripada menyebut nama Tuhan".
Daripada Hassan Basri, tertawa itu ada 2 bahagian. Satu bahagian, tertawa yang disukai Allah iaitu diberi pahala untuk org yang tertawa. Tertawa sayang yang disukai Allah ialah senyum seorang di hadapan saudaranya bertujuan untuk menyukakan hatinya. Dan tawa yang dimurkai Allah ialah tertawa kerana perkataan atau percakapan orang lain.
Kalau sahabat semua nak tau, Syaitan pun suka ketawa. Bila? Daripada Abu Hurairah r.a : Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: "Apabila menguap salah seorang kamu dalam sembahyang, maka hendaklah kamu menutup mulutnya sedapat mungkin dan jangan sampai mengatakan 'hah' kerana sesungguhnya yang demikian itu dari syaitan yang ketawa.....
Tuesday, March 25, 2008
I'm In Love
Dia yang kucintai. Wajahnya tidak sunyi dengan senyuman, bisa menenangkan hati setiap mata yang memandang. Tutur katanya sarat dengan kata-kata motivasi yang pasti membangkitkan semangat yang lesu. Susunan ayat bicaranya pasti membenihkan pengharapan kepada hati yang berputus asa. Tingkah lakunya amat teliti disulami pengorbanan. Akhlaknya amat menenangkan hati setiap insan yang bersama-samanya. Ini amat diakui oleh adik-adik seperjuanganku. Bak kata salah seorang adikku “Penerimaan (setuju) tanpa bahas,”. Katanya menyebabkan diriku tersenyum, rasanya bahang muktamar masih belum surut.

Cinta berputik tika dia menyelamatkan seekor kala jengking dari permukaan air, kala itu cuba menyengatnya. Lantaran yang memerhati tindakannya bertanya ‘mengapakah ingin diselamatkan kala jengking itu sedangkan ia cuba menyengatmu?’. Jawabnya, ia (kala jengking itu) berakhlak dengan akhlaknya dan daku berakhlak dengan akhlakku. Tersentuh hatiku tika terkenangkan jawapannya. Terdetik di hati, sudahkah daku berakhlak dengan akhlakku?. Benar kala jengking Allah ciptakan dengan sifat semulajadinya menyengat jika dia dalam keadaan bahaya. Atas keterbatasan akal seekor haiwan, tidak bisa membezakan antara bahaya dan bantuan. Tetapi Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian yang dilengkapkan dengan akal untuk membezakan yang baik dengan yang buruk. Manusia yang sebaik-baik kejadiannya adalah manusia yang sembahyang sujud tunduk dan patuh pada Tuhannya hingga mengatakan “Ya Allah, kami dengar dan kami taat”. Jika tidak, maka belum sempurna sifat hakikat kejadiannya.
Thursday, January 24, 2008
Perihal Hati Yang Hidup
· Dalam hati manusia terdapat kekuatan, tidak terurai kecuali dengan menerima kehendak Allah.
· Dalam hati manusia terdapat keganasan, tidak hilang kecuali berjinak dengan Allah.
· Dalam hati terdapat kesedihan, tidak hilang kecuali seronok mengenali Allah dan baik muamalah dengan-Nya.
· Dalam hati terdapat kegelisahan, tidak hilang kecuali berjumpa dengan-Nya dan lari menuju-Nya.
· Dalam hati terdapat api penyesalan, tidak padam kecuali redha dengan suruhan-Nya, larangan-Nya, qadha-Nya, dan sentiasa sabar sehingga menemuinya.
· Dalam hati terdapat hajat, tidak terbendung kecuali dengan kecintaan kepada-Nya, memohon kepada-Nya, sentiasa berzikir kepada-Nya dan keikhlasan pada-Nya. Andai dunia dan seisinya diberi, tidak akan dapat membendung hajat hati si insan ini.