Friday, September 4, 2009

Sedikit Coretan Mengajar Mengaji


“Ustazah, hari ini balik jam berapa?, Iman baca sampai mana ustazah? Baca sikit ye ustazah, Iman tak larat la .. mengantuk”, tanya Iman Iskandar, anak murid mengaji saya yang berumur 7 tahun. Saya menjawab dengan ringkas, “ Iman balik pukul 9 malam, baca dalam 3 muka surat dan bergantung dengan prestasi iman la, kalau ok cepat la abis, kalu tak ok lambatlah abis”, jawab saya kepada Iman. Kira-kira sudah mencecah 3 bulan saya mengajar Iman mengaji Iqra’ tiap-tiap malam di rumah saya. Banyak karenah dan ragam yang terpaksa saya tempuhi dan kadangkala ia sedikit sebanyak memberi pengalaman kepada diri saya.

Untuk mengajar budak yang berumur 7 tahun bukanlah perkara yang mudah bagi saya. Memang pada permulaannya saya ingat ia merupakan tugas yang senagn, namun perspektif itu berubah apabila saya mula mengajar Iman. Iman seorang yang pelat, sukar untuk menyebut huruf R dan seorang yang masih mentah. Pertama kali mengajar, tiada masalah dan saya pun tidak menunjukkan kegarangan saya.

Bila masuk hari yang seterusnya, saya dapati Iman seorang yang gemar melawan cakap..huhu..Dan seolah-olah dia yang betul, ustazahnya yang salah.. Tidak sah jika satu hari tu tak bergaduh dengan dia.. Lumrahnya beginilah kami selalu bergaduh , " Iman..salah bacaan tu..baca insani bukan insana..", ujarku. Kemudian Iman membalas, " betullah iman baca tadi apa.." saya berkata lagi, "Iman salah baca la..iman baca na tadi..ustazah tahu la..ustazah dengar".. Selepas berlaku sedikit pergaduhan, Iman akan menunjukkan perubahan dalam bacaannya, dia mula malas membaca, memandang syiling, tanya bila mama nak ambil, baca sampai mana dan sebagainya..Jawapan saya mudah saja.." cepat habis cepat balik!"..

Memang memerlukan kesabaran dalam mengajar Iman ini. Bukan apa, baru 5 minit baca fikirannya sudah melencong jauh..namun bukan setiap hari Iman begitu..adakalanya Iman akan bersemangat dan adakalanya malas. Jadi sebagai pendidik, kita mesti bijak menarik minat anak murid supaya ia hanyut dengan pembelajaran kita. Sukar juga untuk menerangkan kepada budak yang berumur 7 tahun tentang hukum tajwid. Pernah saya pesan kepada Iman, " Iman kena baca panjang 2 harkat pada alif, waw dan ya tau. Sebab itu huruf mad.." dan Iman membalas, " Iman mana tahu la..Iman tak belajar lagi!" Saya menyambung, " sebab tak tahu la ustazah nak bagi tahu ni..lepas ini bila jumpa dengan huruf tersebut baca panajang tau". Iman sambil lea mendengar penerangan saya. Kadangkala, mereka tahu untuk membaca tetapi sengaja membaca salah supaya dapat menarik perhatian kita..saya akui perkara tersebut..Apabila bacaan tiada salah dan lancar..Iman akan mencari jalan untuk menyalahkan bacaannya..walaupun banyak kali saya betulkan dia tetap dengan kesalahan tersebut sambil tersenyum-senyum..Akhirnya apa yang saya buat saya merajuk!!

Hati seorang kanak-kanak memang bersih dan mudah kasih terhadap gurunya. Ini diakui apabila Iman ingin membaca dengan sendiri bacaan Iqra' tanpa panduan daripada saya..Saya pernah berkata, "Ustazah baca, Iman ikut ye..Ayat ni panjang.." Lantas Iman menjawab, " Iman nak baca sendiri!" Saya lantas menyampuk, " Tak boleh lah Iman..kalau Iman baca banyak salah.." Iman nak baca sendiri jugak", ujar Iman. Lalu saya berkata, "ok, lepas ni tak payah datang mengaji, sebab Iman dah pandai, ngaji dengan mama saja". Iman menjawab ringkas, "ok!". Punyalah sakitnya hati saya ni Allah yang tahu..huuuhu.. Lantas saya membiarkan Iman membaca seorang diri sambil saya buat-buat merajuk dan tidak memandangnya..Bila dah habis, saya berkata" Iman tahu tak Iman baca banyak salah?". Jawab Iman, "tahu!". Selepas itu saya meminta Iman mengikut bacaan saya dan terus menamatkan bacaan. Selepas itu tiada kata yang saya ucapkan kepada Iman untuk menunjukkan bahawa saya merajuk dengan Iman! (",). Apabila pulang ke rumah, Iman dengan muka sedih mengadu pada mamanya bahawa Iman sedih sebab lawan cakap ustazah..kesian ustazah..ustazah marah dengan Iman tadi. Iman rasa nak nangis.. Bila saya mendengar berita ini daripada mama Iman saya sangat tersentuh dan amat bersyukur kerana sebenarnya Iman memiliki hati yang sangat lembut..

Begitulah sedikit coretan pengalaman mengajar kanak-kanak berumar 7 tahun. Belum lagi saya menceritakan pelajar baru saya yang sudah masuk ke tingkatan 2. Namanya Faiz, dan dengan rendah hati tidak kisah turun daripada Al-Quran untuk baca Iqra' 4 yang sama dengan Iman! Ini kerana saya mengesyorkan supaya baca Iqra'6 untuk melancarkan bacaan dalam Al-Quran. Memang tidak lancar dan masih lambat nak eja huruf. Alhamdulillah, Faiz sendiri yang sukarela untuk baca Iqra' 4 dan dia tidak kisah...dan Iman pun tak kisah.. (",)

Petikan diolog di atas merupakan pengalaman saya sewaktu mengajar mengaji. Saya teringat sabda Nabi S.A.W : Daripada Jabbar bin Abdullah, beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda (yang bermaksud): “Sebaik-baik manusia ialah orang yang bermanfaat bagi orang lain.” (Riwayat At-Tabrani)

Saya diminta untuk mengajar anak salah seorang guru di sekolah saya. Saya menerima bukan atas sebab masalah kewangan dan sebagainya. Apa yang saya harapkan ilmu yang saya miliki ini boleh dikongsi bersama dalam usaha untuk melihat Islam itu berkembang. Saya teringat tentang hadis di atas. Ya..sesungguhnya manusia yang baik itu ialah mereka memberi manfaat kepada orang lain. Setiap orang mempunyai pendekatan yang berbeza dalam memberi manfaat kepada orang lain. Dalam situasi saya, saya boleh membantu dalam urusan memberi ilmu tentang agama serba sedikit dan pada masa yang sama pencarian ilmu perlu berterusan dalam meningkatkan ilmu pengetahuan.

Saya mengambil inisiatif membuka kelas pengajian Al-Quran kepada pelajar saya kerana saya sedih melihat tahap penguasaan Al-Quran pelajar saya yang sangat lemah. Hati siapa yang tidak tersentuh apabila mengenangkan saudara seagama tidak mengenal huruf hijaiyah, tidak boleh membaca Al-Quran dan sebagainya. Belum lagi dilihat daripada aspek yang lain.. mengambil wudhuk pun tidak tahu!. Saya dengan senang hati menawarkan bantuan untuk mengajar mereka kerana ingin melihat Saudara seIslam berdiri megah . Namun amat menyedihkan saya apabila terdapat segelintir daripada pelajar tersebut mengambil sambil lewa inisiatif saya dan mempermainkan ayat-ayat Allah!! Lalu..dengan rasa bangga diri seolah-olah diri tahu semuanya padahal apabila ditanya hanya menggaru kepada dan membuat loyar buruk..Nah!..inilah situasinya pelajar sekarang berbanding dengan pelajar dahulu. Usaha saya ini tidak akan berhenti setakat ini sahaja, saya akan berusaha supaya mereka dapat mengenal Al-Quran sebelum melangkah keluar daripada sekolah nanti, ini azam saya. Semoga Allah S.W.T memberikan kesenangan dan kemudahan dalam setiap apa yang saya lakukan, insya'Allah.

Tidak semua pelajar menimbulkan masalah, terdapat juga pelajar yang mengambil berat perihal rakannya yang tidak tahu membaca. Saya pernah didatangi oleh seorang pelajar saya. " Ustazah tak nak buat kelas mengaji ker?", lalu saya membalas, " mengapa?".Lalu pelajar saya terus berkata, " ustazah..saya kesian tengok kawan-kawan saya yang tak tahu baca tu..kan susah nanti semasa hafazan dan tilawah Pendidikan Islam..". Saya menjawab, "boleh, kamu kumpulkan orang dan kita bermula selepas Asar di Surau Kuaters". Alhamdulillah..walaupun tidak ramai tetapi saya bersyukur kerana ada juga pelajar yang mengambil berat tentang saudara seIslamnya.

Pendidikan agama perlu diterapkan seawal yang mungkin semasa masih kanak-kanak lagi. Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memberikan pendidikan Agama yang sempurna kepada anak-anaknya. Didiklah mereka sebaik yang mungkin dan hiasilah peribadi mereka dengan hiasan ketaqwaan dan Al-Quran.

Semoga mereka-mereka yang saya bimbing ini dapat melahirkan generasi yang soleh di masa akan datang, insya'Allah

DIPETIK DARI LAMAN "MUNIRAH BAHARI ; http://munirah-bahari.blogspot.com"

BUNGA YANG CANTIK JARANG HARUM


Wanita sinonim dengan kecantikan. Istilah “cermin” dalam bahasa Arab dekat sangat dengan wanita – kerana cermin itu dekat pula dengan kecantikan. Bercermin untuk kelihatan cantik. Ke mana-mana wanita pergi, cermin ada di sisi.

Bagi yang tidak cantik bagaimana? Mereka bukan wanita?

Tunggu dulu, setiap yang Allah cipta pasti indah kerana Allah itu Maha Indah dan suka pada keindahan. Tuhan tidak mencipta manusia hodoh, Tuhan hanya mencipta manusia dengan kecantikan berbeza. Jadi, ingat itu… setiap wanita berhak untuk cantik!

Soalnya, di manakah letaknya kecantikan sebenar pada seorang wanita? Kalau kita tanyakan kepada para lelaki maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan. Ada yang merasakan kecantikan wanitaitu pada wajah, pada bentuk tubuh, pada kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya.

Dan pada yang menyatakan kecantikan pada wajah pula terbahagi kepada pelbagai pandangan, ada yang mengatakan kecantikannya terletak pada hidung, pada mata dan sebagainya. Pendekata kecantikan itu bagi anggapan sesetengah orang sangat relatif sifatnya. Lain orang, lain penilaiannya.

Namun sebagai seorang Islam, kita tentulah ada kayu ukur tersendiri untuk menilai kecantikan. Kita tentunya mengukur kecantikan wanita mengikut kayu ukur Islam. Dan tentu sahaja kecantikan yang menjadi penilaian Islam adalah lebih hakiki dan abadi lagi.

Misalnya, kalaulah kecantikan itu hanya terletak pada wajah, wajah itu lambat-laun akan dimakan usia. Itu hanya bersifat sementara. Apabila usia meningkat, kulit akan berkedut tentulah wajah tidak cantik lagi. Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan yang sejati dan abadi.

Sebagai hamba Allah, kita hendaklah melihat kecantikan selaras dengan penilaian Allah atas keyakinan apa yang dinilai oleh-Nya lebih tepat dan betul. Apakah kecantikan yang dimaksudkan itu? Kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan budi pekerti ataupun akhlak. Itulah misi utama kedatangan Rasulullah SAW – untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Kecantikan akhlak jika ada pada seseorang, lebih kekal. Inilah kecantikan yang hakiki mengikut penilaian Allah. Hancur badan dikandung tanah, budi baik di kenang juga. Kecantikan akhlak ini juga adalah satu yang lebih abadi. Kata pepatah lagi, hutang budi dibawa mati. Malah akhlak yang baik juga sangat disukai oleh hati manusia. Contohnya, kalaulah ada orang yang wajahnya sahaja cantik tetapi akhlaknya buruk, pasti dia akan dibenci.

Ya, mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pada fikiran. Nafsu menilai pada bentuk tubuh. Tetapi hati tentulah pada akhlak dan budi. Kecantikan akhlak ini diterima oleh semua orang. Katalah orang jujur, siapapun suka. Semua orang sepakat menyayangi orang yang jujur itu disukai. Sedangkan jika menurut ukuran rupa, penilaian manusia tetap tidak sama. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan, ‘beauty in the eye of beholder’.

Rasulullah saw juga telah pernah menegaskan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Wanita solehah ialah perhiasan rumah-tangga, perhiasan masyarakat dan perhiasan negara. Jika ada ibu yang solehah, anak-anaknya tentu mendapat manfaat. Mereka akan terdidik dengan baik.

Jika ada isteri yang solehah, suami pun akan mendapat manfaat. Para isteri ini akan memudahkan urusan rumah-tangga, menjalinkan hubungan keluargha dengan penuh kasih-sayang dan lain-lain. Tuturkatanya baik, tingkah lakunya baik, senyumannya menawan dan segala-galanya indah… mereka bayangan bidadari syurga di dunia ini.

Kenapa banyak wanita yang memiliki kecantikan tetapi musnah hidupnya? Ada ungkapan yang berbunyi, kemusnahan akan menimpa bilawanita mula merasai dirinya cantik dan mempamirkan kecantikan. Sejauhmana benarnya, wallahua’lam. Tetapi apa yang pasti, menurut Islam jika kecantikan tidak disertai iman yang kuat, maka pemiliknya akan hilang kawalan diri. Akibatnya ramai wanita cantik diperdayakan oleh syaitan untuk menggoda manusia melakukan kemungkaran. Lihatlah di sekeliling kita. Kata orang, bunga yang cantik jarang yang harum! Ini sudah menjadi sesuatu yang lumrah.

Tanpa iman, kecantikan akan dipergunakan ke arah kejahatan dan kemaksiatan, yang akhirnya akan memusnahkan diri pemiliknya dan orang lain. Cuba kita lihat apa yang terjadi kepada bintang filem barat (di sinipun apa kurangnya), ada yang memporak-perandakan negara, rumah-tangga dan berakhir dengan sakit jiwa dan bunuh diri.

Cantik tidak salah, tetapi salah menggunakan kecantikkan itulah yang salah. Kata orang, wanita yang cantik jarang berakhlak. Umpama bunga yang cantik, jarang yang wangi. Tetapi kalau cantik dan berakhlak pula, inilah yang hebat. Umpama cantiknya wanita solehah pada zaman nabi seperti Siti Aishah RA, Atikah binti Zaid dan lain-lain.

Bagaimana mendapat kecantikan sejati? Perlu kita faham kecantikan itu bermula dari dalam ke luar. Bukan sebaliknya. Oleh itu pertama, tanamkan di dalam hati kita iman yang benar-benar kuat berdasarkan ilmu yang tepat dan penghayatan yang tinggi. Iman itu keyakinan, kasih sayang, kemaafan, sangka baik dan reda. Rasa-rasa ini buktikanlah dengan perbuatan yang baik. Bila hati baik, wajah akan sentiasa cantik.

Jadi perkara kedua ialah susulilah iman itu dengan perbuatan yang baik. Ertinya, kita atur kehidupan mengikut syariat atau peraturan Tuhan. Dan apabila iman ditanam, syariat ditegakkan, akan berbuahlah akhlak yang mulia. Wajah, perilaku dan peribadi kita akan nampak cantik sekali. Inilah yang dikatakan kecantikan yang hakiki. Biar buruk rupa, jangan buruk perangai. Apa gunanya mulut yang cantik kalau kita gunakan untuk mengumpat?

Ya, kecantikan akhlak… boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja, oleh yang rupawan mahupun yang hodoh. Itu bukti keadilan Allah yang mencipta wanita dengan berbagai wajah dan rupa… tapi peluangnya untuk “cantik” tetap serupa!

DIPETIK DARI LAMAN "GENTA RASA ; http://genta-rasa.com"

Monday, June 15, 2009

Wafatnya Penulis Maza Yakni



www.ikhwan-jor.com mengkhabarkan berita yang cukup meruntun jiwa, pulangnya Dr. Fathi Yakan ke pangkuan Allah Taala pada 13 Jun 2009. Beliau meninggal pada usia 76 tahun lantaran sakit.

Berita ini diterima selepas zuhur tadi yang juga disiarkan di aljazeera.net, qudspress.com dan lain-lain. Beritanya adalah seperti berikut:

Pada pagi sabtu, Dr Fathi Yakan telah meninggal dunia di hospital di Lubnan setelah dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lepas kerana menghadapi masalah kesihatan yang teruk. Beliau telah menghembuskan nafasnya terakhir ketika mencapai umur 76 tahun di hospital.

Pihak hospital telah menyatakan bahawa beliau terkena serangan angin ahmar pada otaknya sehingga menyebabkan beliau telah mati klinikal (clinical death). Namun pihak perubatan dan pihak keluarga enggan mencabut alat bantuan hayat dari tubuh beliau.

Siapa yang tidak kenal Dr. Fathi Yakan. Kitab karangannya yang terkenal Apa Erti Saya Menganut Islam (atau lebih terkenal dengan panggilan 'Maza Yakni') menjadi rujukan kebanyakan kumpulan usrah pelbagai wadah.

Kini beliau sudah pergi meninggalkan kita. Permata dakwah ini sudah tiada. Moga-moga akan lahir lebih ramai tokoh dakwah sehebat Dr Fathi Yakan. Ulama agung yang mampu menjulang martabat Islam setinggi-tingginya.


Profil Dr Fathi Yakan

Dr Fathi Yakan ialah ulama dan pendakwah Islam yang terkemuka. Beliau dilahirkan di Tarablas pada tahun 1933 dan telah mendapat ijazah kedoktoran dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau telah menjawat ketua umum di dalam Jamaah Islam sehinggalah pada tahun 1992.

Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Narul Barid di utara Lubnan diantara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pd tahun 2007.

Beliau telah banyak mengarang buku di antaranya Maza Ya'ni Intiami lil Islam, al-Mutasiqituna Fala Toriq Da'wah, Kaifu Nadwu lil Islam dan lain-lain yang melebihi 35 buah buku.


Sumber: tamanulama.blogspot.com, http://suluhhati.blogspot.com/

Saturday, June 6, 2009

Friday, May 22, 2009

Aku Ingin Hatiku Dilimpahi Kasih Sayang...

Aku ingin hatiku dilimpahi kasih sayang
Agar bisa ku senyum pada setiap insan
Agar lembut bicaraku menyapa rakan taulan
Agar sinar simpatiku berkongsi kesusahan
Agar mudah qalbuku melerai dendam

Aku ingin hatiku dilimpahi kasih sayang
Agar dapat ku rawati insan yang kesakitan
Agar ku sabar selalu menerima pengaduan
Agar mampu ku ringankan pedih yang disandang
Agar sentuhan tanganku menghilang rawan

Aku ingin hatiku dilimpahi kasih sayang
Agar terpadam mazmumah yang terpendam
Agar terlerai kesombongan yang menghinakan
Agar berbunga mahmudah mendamaikan
Agar akhlakku dipancar nur iman

Aku ingin hatiku dilimpahi kasih sayang
Agar musnah rungutan yang membebankan
Agar terhapus dosa yang memberatkan
Agar ikhlas tumbuh subur berkekalan
Agar hatiku dipancar ketenangan

Aku ingin hatiku dilimpahi kasih sayang
Agar diriku disayangi Tuhan
Agar redha-Nya mengiring jalan
Agar jalan ke jannah luas terbentang
Agar tersisih dari nerakan jahannam

Saturday, April 11, 2009

Senyumlah Dalam Keletihanmu...

Dedikasi buat adikku yang letih...


"Kak, saya rasa letih sangat," adu seorang adik yang keletihan selepas berprogram, ditambah pula tugasan kuliah yang membebankan. Seluruh tubuhnya keletihan dan mula mengalami gejala seperti sakit dada dan rasa lemah hingga hampir-hampir tidak mampu meneruskan tugasannya pada hari tersebut.

"Akak rasa awak stress lah," kata saya membuat 'diagnosis' selepas mendengar simptom-simptom yang diceritakannya.

"Give your body a break. All work and no play makes Jack a dull boy," saya memetik kata pepatah Inggeris.

“Rehatlah, bercuti untuk dirimu sendiri. Antara sebab-sebab futur ialah keletihan yang melampau,” saya menyambung lagi.

“Ya lah, saya rasa hidup saya ni untuk program, kerja dan thesis saja kak…” luahnya lagi, mungkin baru menyedari betapa letihnya hidupnya.

“Selain rehat, cuba ambil supplement kesihatan untuk menambahkan tenaga,” sambung saya lagi. Teringat pengalaman saya yang selalu letih di zaman belajar, dapat saya atasi dengan pengambilan supplement.





“Dan janganlah lupa berdoa. Pagi tadi akak dengar ceramah ustaz kat dalam TV, katanya Rasulullah pernah mengajarkan satu ayat kepada Muadz Bin Jabal bagaimana untuk mengatasi masalah lemah dan berhutang. Ayat ini dengan izin Allah, jika diamalkan, sekiranya kita berhutang sebanyak manapun nescaya Allah mudahkan bagi kita untuk menyelesaikannya,” kata saya.

Ayat tersebut ialah ayat ke 26 Surah Ali Imran yang bermaksud: “Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”




Kepada temanku yang sedih, kecewa, tertekan, ketahuilah jalan perjuangan pastinya penuh kepenatan, kesusahan dan tekanan yang tak terjangkakan. Aku juga tak terkecuali melalui saat keletihan itu hingga kini. Namun, yakinlah kasih-Nya tetap menemani dalam keletihanmu, bantuan-Nya tetap menyusuli selepas kesusahanmu, dan kemanisan pasti akan dirasai selepas rasa tertekanmu. Bukankah Allah telah berjanji bahawa selepas kesusahan akan ada kesenangan.

“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Al-Insyirah: Ayat 5-6)

“Ya Allah, aku bermohon perlindungan-Mu dari rasa sedih dan dukacita, aku bermohon perlindungan-Mu dari sifat lemah dan malas, aku bermohon perlindungan-Mu dari sifat pengecut dan bakhil, dan aku bermohon perlindungan-Mu dari beban hutang dan penindasan manusia. Amin..”

Senyumlah dalam keletihanmu. Semoga langkah kita sentiasa kuat menyusuri jalan yang meletihkan ini. Untuk motivasi, renungilah kata-kata hikmah dari Saidina Umar Al-Khattab:

“Jika kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan, ketahuilah bahawa keletihan itu akan hilang sedang kebaikan itu akan berkekalan.”